Piala Agong kembali, 9 pasukan bakal berentap buru kejuaraan edisi ke-42

Piala Agong kembali, 9 pasukan bakal berentap buru kejuaraan edisi ke-42


SEMBILAN pasukan bakal berentap memburu kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 yang dijadual berlangsung dari 9 Mei hingga 28 Jun depan.

Saingan selama lapan minggu itu dijangka sengit dengan penyertaan Kedah, Terengganu, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Johor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Kembalinya Putrajaya dan Negeri Sembilan ke pentas Piala Agong musim ini dijangka menambah saingan serta memeriahkan lagi kejohanan berprestij berkenaan.

Mengikut format pertandingan, kesemua pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Juara bertahan, PDRM mengetuai Kumpulan A, manakala naib juara edisi lalu, Johor, menerajui Kumpulan B.

Saingan akan bermula dengan peringkat kumpulan sebelum diteruskan ke suku akhir, separuh akhir, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat serta aksi final.

Perlawanan peringkat kumpulan hingga separuh akhir akan berlangsung di venue pasukan bertanding, manakala perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga serta keempat dijadualkan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor.

Sebagai tarikan, kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM51,000 dengan juara membawa pulang RM20,000, diikuti naib juara (RM15,000), tempat ketiga (RM10,000) dan tempat keempat (RM5,000), selain anugerah pemain terbaik bernilai RM1,000.

Dalam masa sama, Piala Agong turut menjadi platform penting pemilihan pemain untuk skuad kebangsaan Bunga Raya 15 sebelah yang bakal beraksi dalam Union Cup – SEA XV Championship 2026 di Thailand pada pertengahan Julai.

Prestasi pemain sepanjang kejohanan itu akan menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan skuad negara.

Selain pertandingan, majlis turut menyaksikan penyerahan replika cek bagi kerjasama strategik antara Kesatuan Ragbi Malaysia dan Spritzer sebagai rakan hidrasi rasmi Piala Agong 2026.

Piala Agong kekal sebagai antara kejohanan ragbi paling berprestij di negara ini, selain menjadi platform mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan ragbi di peringkat kebangsaan.



Source link

OR

Scroll to Top