Kenapa EV Berat Gila? Ini Sebab Sebenar Ramai Tak Tahu

Kenapa EV Berat Gila? Ini Sebab Sebenar Ramai Tak Tahu


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pengguna mulai sedar bahawa kereta elektrik atau EV bukan sahaja senyap dan pantas, tetapi juga jauh lebih berat berbanding kereta enjin pembakaran dalaman (ICE).

Perbezaan ini bukan sekadar persepsi atau anggapan semata-mata, tetapi fakta daripada beberapa aspek kejuruteraan utama yang membezakan kedua-dua jenis kenderaan ini. Seperti yang dijangka, faktor paling besar yang menyumbang kepada berat tambahan EV adalah bateri.

Tidak seperti kereta petrol yang hanya memerlukan enjin, tangki bahan api dan sistem transmisi, EV bergantung sepenuhnya kepada pek bateri lithium-ion yang sangat besar untuk menjana kuasa. Dalam kebanyakan model, berat bateri sahaja boleh mencecah antara 450 hingga 900 kilogram. Malah ada model yang lebih berat daripada itu.

Sebagai perbandingan, keseluruhan sistem enjin dan transmisi dalam kereta petrol biasanya berada dalam lingkungan 250 hingga 350 kilogram sahaja. Ini bermakna, walaupun EV tidak mempunyai enjin konvensional, berat baterinya sudah cukup untuk melebihi komponen utama kereta biasa.

Bagi EV yang menggunakan bateri LFP, berat ini semakin bertambah disebabkan bateri LFP mempunyai ketumpatan tenaga yang lebih rendah. Sebagai contoh bateri lithium ion dengan kapasiti 50kWh tenaga elektrik mungkin seberat 500kg. Tetapi bateri LFP akan sentiasa lebih berat daripada bateri lithium-ion bagi jumlah kuasa elektrik yang sama

Selain itu bateri bukan sekadar besar dan berat, tetapi juga perlu dilindungi dengan tahap keselamatan yang sangat tinggi. Risiko seperti kerosakan fizikal atau fenomena “thermal runaway” memaksa pengeluar untuk membina struktur casis yang lebih kukuh dan rigid.

Ini termasuklah penggunaan rangka tambahan, pelindung bawah lantai, serta casing khas untuk menempatkan bateri. Semua ini menyumbang kepada pertambahan berat yang tidak boleh dielakkan, kerana keselamatan menjadi keutamaan dalam reka bentuk EV moden.

Di samping struktur yang diperkuatkan, EV juga dilengkapi dengan pelbagai sistem tambahan yang tidak wujud dalam kereta konvensional. Ini termasuk pendawaian sistem voltan tinggi, sistem penyejukan khusus untuk bateri, serta rangkaian kabel dan komponen elektronik yang lebih kompleks.

Walaupun setiap komponen ini mungkin tidak terlalu berat secara individu, apabila digabungkan, ia tetap menyumbang kepada peningkatan berat keseluruhan kenderaan. Secara purata, kebanyakan EV adalah sekitar 10 hingga 30 peratus lebih berat berbanding model petrol yang setara.

Dalam dunia sebenar, perbezaan ini biasanya berada dalam lingkungan 200 hingga 400 kilogram, bergantung kepada saiz dan jenis kenderaan. Ini menjelaskan mengapa sesetengah EV dalam segmen sedan boleh mempunyai berat hampir sama dengan SUV berenjin petrol.

Namun begitu, berat tambahan ini tidak semestinya membawa kesan negatif sepenuhnya. Kedudukan bateri yang biasanya diletakkan di bawah lantai kenderaan membantu menurunkan pusat graviti, sekali gus meningkatkan kestabilan ketika memandu.

Hasilnya, banyak EV menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih stabil, dengan kawalan badan yang baik dan kurang olengan ketika mengambil selekoh. Ini adalah salah satu kelebihan unik yang sukar ditandingi oleh kereta konvensional.

Walaubagaimanapun, adalah sukar untuk mengawal kenderaan yang berat semasa mengambil selekoh berbanding dengan kenderaan ringan. Disebabkan berat EV bertambah, EV juga cenderung menggunakan spring yang keras dan penyerap hentakan yang kuat bagi menampung berat tambahan tadi. Keadaan ini menghasilkan EV yang keras dan kurang selesa

Sesetengah EV pula cenderung menggunakan sistem suspensi yang lebih kompleks seperti air suspension dan juga penyerap hentakan boleh laras. Keadaan ini secara tidak langsung akan menambah berat EV yang sedia ada.

Berat tambahan ini bukan sekadar isu teknikal, malah ia juga membawa kesan kepada dunia sebenar. Kenderaan yang lebih berat secara semula jadi memberi impak lebih besar dalam kemalangan. Satu kajian oleh National Bureau of Economic Research pada tahun 2011 mendapati bahawa kebarangkalian kematian asas meningkat sebanyak 47 peratus bagi setiap tambahan 1,000 paun berat kenderaan yang melanggar seseorang.

Ini bermakna, secara purata, kenderaan yang lebih berat termasuk EV berpotensi menjadi lebih berbahaya kepada pejalan kaki dan pengguna jalan raya lain.

Isu ini turut membuka perbincangan tentang infrastruktur sedia ada. Pada tahun 2023, satu kejadian runtuhan tempat letak kereta di Lower Manhattan yang dibina seawal tahun 1925 mencetuskan persoalan sama ada struktur lama mampu menampung berat kenderaan moden, termasuk EV dan SUV yang semakin besar dan berat.

Walaupun kejadian seperti ini jarang berlaku, ia menunjukkan bagaimana evolusi kenderaan turut memberi tekanan kepada sistem infrastruktur yang dibina berdasarkan standard lama.

Selain faktor keselamatan dan struktur, berat EV juga memberi kesan kepada kos pemilikan harian. Salah satu perkara yang mula disedari oleh pemilik EV adalah kadar kehausan tayar yang lebih cepat berbanding kereta petrol.

Menurut kajian oleh J.D. Power pada tahun 2024, ramai pemilik EV terkejut apabila mendapati tayar mereka haus lebih cepat daripada jangkaan. Ini berlaku kerana gabungan dua faktor utama iaitu berat kenderaan yang lebih tinggi dan penghantaran tork yang serta-merta dan agresif, ciri tipikal motor elektrik.






Source link

OR

Scroll to Top