Mohammed Taufiq semasa Jamuan Raya Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani, pada Sabtu.
PENGANJURAN Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, Ogos nanti akan dilaksanakan dengan pendekatan lebih berhemat apabila tiada perkampungan sukan disediakan untuk kontinjen bertanding kali ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sebaliknya setiap atlet akan diberikan subsidi sebanyak RM100 sehari mengikut kontinjen masing-masing bagi membantu kos penempatan dan perbelanjaan berkaitan, sepanjang temasya berlangsung.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, perkara berkenaan diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dipengerusikannya baru-baru ini yang turut menyentuh venue pertandingan temasya kali ini.
“Semua sudah selesai sebenarnya berkenaan venue dan sebagainya. Tiada perkampungan sukan kali ini, jadi setiap atlet akan diberikan subsidi RM100.
“Kita akan sedikit sebanyak mengecilkan skala atau membuat penjimatan, namun penjimatan itu tidak mengurangkan kualiti atlet, kualiti sukan dan juga kualiti penganjuran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Jamuan Raya Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, langkah penjimatan itu lebih tertumpu kepada pengurangan kos tanpa menjejaskan perjalanan temasya berkenaan.
Tambahnya, urusan penempatan atlet pula bergantung kepada negeri masing-masing serta majlis sukan negeri untuk memilih lokasi penginapan yang sesuai.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan senarai penuh acara yang akan dipertandingkan masih dalam proses dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, media melaporkan SUKMA 2026 akan dilaksanakan pada skala lebih kecil bagi menjimatkan kos penganjuran tanpa mengurangkan jumlah sukan dan acara dipertandingkan.
Mohammed Taufiq berkata, langkah itu diambil selepas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 mengambil maklum mengenai krisis tenaga global serta kesan ekonomi dunia yang turut dirasai di negara ini.






