razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Saya ingatkan senang urus dobi layan diri, rupanya banyak cabaran termasuk berdepan pelbagai kerenah pelanggan,” demikian luahan pengusaha dobi, Muhamad Khairul Nizam Abdullah, 37.
Khairul Nizam yang mengusahakan dobi layan diri sejak enam tahun lalu mengakui realiti sebenar perniagaan itu jauh berbeza daripada jangkaannya.
Katanya, premis dobi miliknya yang beroperasi di Kuala Kangsar, Perak kini menjadi sumber rezeki utama selepas dia berhenti kerja di Singapura akibat hilang upaya akibat kemalangan.
“Antara cabaran utama ialah sikap pelanggan yang tidak memahami cara penggunaan mesin walaupun arahan sudah disediakan.
“Ada pelanggan memasukkan ‘token’ dahulu, kemudian baru hendak memilih suhu. Apabila mesin sudah mula beroperasi, memang tidak boleh dihentikan. Namun, mereka tetap menghubungi saya dan marah kerana tidak boleh mengubah tetapan,” katanya.
Menurutnya, situasi sama berlaku apabila pelanggan tertinggal barang dalam pakaian dan mahu membuka mesin ketika ia sedang beroperasi.
“Apabila mesin sudah dikunci untuk keselamatan, ia memang tidak boleh dibuka. Namun, ada yang tetap menyalahkan kami sedangkan itu adalah sistem keselamatan mesin,” katanya.
Tambahnya, terdapat juga kes pelanggan menyalahgunakan mesin sehingga menyebabkan kerosakan yang memerlukan kos pembaikan tinggi.
“Pernah berlaku pelanggan meletakkan sabun dalam mesin pengering. Sabun itu melekat pada penapis dan mengeras sehingga hampir merosakkan komponen mesin.
“Ada juga pelanggan memasukkan pakaian basah ke dalam mesin pengering sehingga menyebabkan kerosakan serius seperti papan litar (motherboard) terbakar, sekali gus menyebabkan saya mengalami kerugian ribuan ringgit,” katanya.
Katanya, kes terlebih muatan juga kerap berlaku apabila pelanggan memasukkan pakaian terlalu banyak sehingga menjejaskan fungsi mesin.
Selain itu, Khairul Nizam turut berdepan risiko keselamatan apabila pelanggan memasukkan barangan berbahaya seperti pemetik api ke dalam mesin yang berisiko menyebabkan kebakaran.
Jelasnya, masalah pelanggan meninggalkan pakaian terlalu lama juga sering berlaku sehingga menimbulkan kesulitan kepada pengguna lain.
“Keadaan ini biasa berlaku di mana-mana dobi layan diri kerana sikap pentingkan diri dalam kalangan pelanggan. Ada kalanya saya sendiri terpaksa datang untuk mengeluarkan pakaian pelanggan bagi memberi laluan kepada pelanggan lain.
“Paling lama, saya menyimpan pakaian pelanggan adalah sehingga dua tahun. Mereka berjanji hendak mengambilnya, tetapi sehingga kini masih belum berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, selain kerenah pelanggan, dia juga pernah berdepan kejadian pecah masuk yang menyebabkan kerugian hampir RM5,000 termasuk kerosakan mesin dan kehilangan wang.
Tambahnya, faktor mentaliti juga menjadi antara punca utama berlakunya pelbagai kerenah pelanggan sehingga menjejaskan operasi perniagaan.
“Bagi saya, punca utama adalah pemikiran pelanggan itu sendiri. Walaupun saya sudah menyediakan arahan dan garis panduan, mereka menganggap mesin ini bukan harta mereka, jadi tidak perlu dijaga dengan baik,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Khairul Nizam menyimpan berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan baharu sekiranya mempunyai peluang dan modal mencukupi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






