Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah atas pemergian pereka grafik Harian Metro Muhammad Faizal Mohd Fauzi, 44 yang meninggal dunia, semalam.
Dalam hantaran di Facebook, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai antara tenaga penting di sebalik tabir dunia media dan penerbitan negara.
“Saudara Faizal merupakan antara tenaga penting di sebalik tabir yang telah banyak menyumbang kepada dunia media dan penerbitan tanah air,” katanya.
Muhammad Faizal, yang menetap di Apartmen Abdullah Hukum dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai dan berkhidmat lebih dua dekad dengan Harian Metro, turut dikenang atas sumbangan beliau dalam bidang grafik media.
Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga, rakan sekerja dan sahabat handai Allahyarham selain mendoakan agar mereka diberi kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan itu.
Beliau juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Menurut sumber, jenazah Muhammad Faizal dijangka menjalani proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, pagi ini sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






