Buang persepsi beza tugas ikut jantina

Buang persepsi beza tugas ikut jantina


amir_hamid@mediaprima.com.my

DALAM masyarakat kita, masih wujud tanggapan tidak bertulis yang membezakan tugas berdasarkan jantina.

Dapur sering dilihat sebagai ‘wilayah’ perempuan, manakala kerja membaiki atau mengangkat barang berat dianggap tugas lelaki.

Hakikatnya, persepsi ini semakin tidak relevan dalam dunia moden yang menuntut setiap individu berdikari dan serba boleh.

Memasak misalnya, bukan sekadar kemahiran asas untuk perempuan.

Lelaki juga perlu tahu menyediakan hidangan makanan, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri dan keluarga.

Dalam situasi tertentu seperti bujang, merantau atau ketika pasangan uzur, kemahiran ini menjadi sangat penting.

Begitu juga dengan menjahit. Ia sering dikaitkan dengan wanita, sedangkan lelaki juga boleh memanfaatkan kemahiran ini untuk membaiki pakaian sendiri tanpa perlu bergantung orang lain.

Dalam aspek teknikal pula, menukar tayar kereta tidak seharusnya hanya diketahui lelaki.

Wanita juga wajar memiliki kemahiran ini sebagai langkah keselamatan, terutama ketika berdepan kecemasan di jalan raya.

Begitu juga dengan kerja mudah seperti menukar mentol lampu di rumah. Ia bukan tugas eksklusif lelaki kerana wanita juga mampu melakukannya dengan pengetahuan dan langkah keselamatan yang betul.

Sebenarnya pembahagian tugas berdasarkan jantina banyak dipengaruhi oleh adat dan budaya lama yang terbentuk mengikut keperluan zaman dahulu.

Ketika itu, lelaki lebih banyak bekerja di luar rumah, manakala wanita menguruskan hal domestik.

Namun, landskap kehidupan semakin hari semakin berubah. Lelaki dan wanita sama-sama keluar bekerja, berkongsi tanggungjawab, malah berdepan cabaran hidup lebih kompleks.

Justeru, tiba masa kita mengubah cara berfikir.

Kemahiran hidup seperti memasak, menjahit, membaiki barangan asas dan mengurus rumah tangga adalah ilmu universal yang perlu dikuasai semua tanpa mengira jantina.

Lebih penting, pendedahan sejak kecil memainkan peranan besar dalam membentuk generasi yang tidak terikat dengan stigma.

Anak lelaki perlu diberi peluang membantu di dapur, manakala anak perempuan digalakkan mencuba kerja teknikal.

Pendekatan ini bukan sahaja membina keyakinan diri, malah melahirkan individu yang lebih berdikari, fleksibel dan bersedia menghadapi pelbagai situasi kehidupan.

Akhirnya, apa yang perlu difahami adalah ilmu dan kemahiran bukan soal sama ada mesti ada kepada lelaki atau perempuan, tetapi soal keperluan dan keupayaan.

Apabila stigma dibuang, kita bukan sahaja memudahkan hidup sendiri, malah membina masyarakat yang lebih seimbang dan saling melengkapi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top