Jojo bawa ‘rahsia’ Superbon cuba jinakkan Shimon Yoshinari

Jojo bawa ‘rahsia’ Superbon cuba jinakkan Shimon Yoshinari


BINTANG sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar akan memanfaatkan taktik hasil tunjuk ajar legenda Muay Thai, Superbon Singha Mawynn menjelang aksi ONE Samurai 1 di Tokyo hari ini.

Johan yang lebih mesra disapa Jojo bakal berdepan cabaran getir menentang wakil tuan rumah, Shimon Yoshinari di Ariake Arena dalam misi meneruskan momentum kemenangannya di pentas antarabangsa.

Menurut Jojo, walaupun menyedari kehebatan Yoshinari yang terkenal dengan teknik sepakan, dia tidak gentar kerana sudah dibekalkan dengan formula terbaik oleh Superbon.

“Shimon mempunyai banyak kemahiran, termasuk sepakan ‘calf kick’, tetapi kami tidak terlalu bimbang tentang perkara itu. Superbon telah memberikan saya ‘trick’ (taktik) yang diperlukan.

“Beliau telah menerapkan teknik itu dalam diri saya, teknik sama yang digunakannya untuk menewaskan Masaaki Noiri dengan mudah sebelum ini,” katanya.

Johan kini berada pada prestasi terbaik selepas melakar dua kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan TKO ke atas petarung Maghribi, Zakaria El Jamari pada September tahun lalu serta kemenangan mutlak menentang Ye Yint Naung dari Myanmar, Februari lalu.

Sepanjang 11 penampilan di ONE Championship, Johan telah mencatatkan lapan kemenangan (lima KO, satu TKO) dan tiga kekalahan.

Bagaimanapun, Yoshinari bukan lawan yang boleh dipandang remeh apabila memiliki rekod profesional luar biasa dengan 24 kemenangan dan hanya satu kekalahan sepanjang kariernya.

Di pentas ONE Championship, jaguh Jepun itu telah meraih empat kemenangan daripada lima pertarungan, termasuk dua kemenangan TKO.



Source link

OR

Scroll to Top