PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi kedukaannya susulan pemergian Allahyarham Abdul Jalil Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Jalil Hamid.
Beliau berkata, Jalil Hamid merupakan seorang seniman yang banyak menyumbang kepada dunia seni tanah air.
“Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat industri kreatif negara. Jasa dan legasinya akan terus dikenang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan takniah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi saat sukar ini.
Terdahulu, media melaporkan bintang veteran versatil, Jalil Hamid, meninggal dunia di kediamannya di Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam, pada pukul 12.30 tengah hari tadi, pada usia 69 tahun.
Pemergiannya disahkan anak kelimanya, Afiqah Jalil atau Iqa.
“Ayah meninggal dunia dalam tidur di rumah. Ayah mengalami jantung bengkak.
“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar, petang ini. Sebelum itu, jenazah dibawa ke Masjid Al Munawwarah untuk solat jenazah,” katanya.-UTUSAN






