Kontrak perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan tamat esok, selepas enam tahun menerajui agensi itu dengan rekod 6,643 tangkapan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan.
Azam yang mula dilantik pada Mac 2020 sebelum menerima tiga kali lanjutan kontrak bakal diganti bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman, Rabu ini.
SPRM berkata, sepanjang tempoh kepemimpinan Azam, SPRM turut merekodkan penyitaan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian (settlement) membabitkan nilai keseluruhan lebih RM16.2 bilion bagi tempoh 2021 hingga Februari tahun ini.
Katanya, berdasarkan statistik keseluruhan operasi SPRM bagi tempoh 2020 hingga 2026, tahun 2024 mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 1,334 individu.
Ia diikuti dengan 1,145 tangkapan pada 2025 dan 1,137 tangkapan pada 2023.
“Pada 2020 pula, SPRM merekodkan 998 tangkapan sebelum menurun kepada 851 tangkapan pada 2021, namun kembali meningkat kepada 909 tangkapan pada 2022.
“Bagi tahun ini pula, sebanyak 269 tangkapan direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam tempoh sama, SPRM turut menerima 40,648 maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 5,997 kertas siasatan dibuka manakala 2,843 individu dituduh di mahkamah serta 1,459 sabitan direkodkan.
Dalam tempoh itu juga, nilai keseluruhan tindakan pembekuan, penyitaan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian (settlement) yang direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2026 mencecah lebih RM16.29 bilion.
SPRM berkata berdasarkan statistik itu, tahun 2023 merekodkan jumlah tertinggi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM8.12 bilion, diikuti 2021 sebanyak RM5.14 bilion dan 2025 berjumlah RM1.74 bilion.
“Bagi tahun 2024 pula, jumlah keseluruhan direkodkan sebanyak RM789.48 juta manakala 2022 mencatatkan RM493.43 juta dan 2026 setakat ini sebanyak RM14.68 juta,” katanya.






