PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar di Istana Negara, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan naskhah cetakan semula Perlembagaan Persekutuan serta teks terjemahan Perlembagaan Persekutuan oleh Dusuki.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut dipersembahkan sebuah buku terbitan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertajuk `Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim’ oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Buku setebal 215 muka surat itu memuatkan lebih 300 gambar memaparkan kehidupan awal Sultan Ibrahim selain minat serta penglibatan baginda dalam pelbagai lapangan di dalam dan luar negara.
Terdahulu, Seri Paduka berkenan menerima mengadap Fahmi yang mengetuai delegasi bagi mempersembahkan buku berkenaan.
Turut mengadap, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj. – UTUSAN





