Pan-gon percaya anak buahnya mampu bangkit menjelang aksi final kedua ACC di Chang Arena pada Rabu depan. Foto Bernama
SELANGOR FC enggan menyerah kalah awal meskipun terpaksa akur tewas tipis 0-1 kepada kelab gergasi Thailand, Buriram United, dalam aksi final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium MBPJ pada Rabu.
Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui kecewa kerana gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, selain pasukannya dilihat agak bergelut pada awal permainan berikutan beberapa kesilapan sendiri.
“Sudah tentu kami berasa sangat kecewa. Kami tidak dapat menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri sepenuhnya.
“Pada separuh masa pertama, kami agak bergelut dan melakukan banyak kesilapan mudah yang sepatutnya tidak dilakukan.
“Separuh masa kedua berjalan dengan sangat baik. Saya rasa kami berjaya mengawal permainan dan mencipta banyak peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Sesuatu yang sangat positif.
“Kami masih mempunyai baki 90 minit perlawanan di tempat lawan. Walaupun sedar ia bakal menjadi tugas yang sukar, kami adalah Selangor. Kami perlu bangkit dengan lebih kuat dan teguh,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kekuatan lawan, pengendali skuad Gergasi Merah itu menghormati reputasi Buriram United sebagai antara pasukan elit di Asia, namun optimis jurang tersebut mampu dirapatkan sekiranya kesilapan pasukan dapat diperbaiki.
“Bagi saya, apa yang dipamerkan oleh pemain pada separuh masa kedua adalah sesuatu yang hebat. Menentang Buriram United yang merupakan pasukan kelompok lapan terbaik ACL Elite bukanlah mudah, mereka pasukan yang sangat berkualiti. Namun, kami masih mampu mencipta banyak peluang untuk mengugut mereka.
“Dalam baki 90 minit ini, apa sahaja boleh berlaku. Saya percaya kami akan pulih dan cuba memperbetulkan keadaan. Saya dapat merasakan keyakinan dalam kalangan pemain ketika ini,” ujarnya.
Perlawanan timbal balik final kedua dijadualkan berlangsung di Chang Arena, Thailand pada 27 Mei ini bagi menentukan juara kejuaraan serantau berkenaan.





