Empat penjenayah dikejar polis ada 66 rekod lampau

Empat penjenayah dikejar polis ada 66 rekod lampau


harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Empat penjenayah keseluruhannya memiliki 66 rekod lampau antara yang diberkas susulan aksi kejar mengejar yang berakhir dengan kenderaan Honda Odyssey dinaiki mereka dipintas polis di Jalan Air Jernih, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsuddin Mamat berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu memiliki rekod jenayah lampau dan narkotik, malah tiga daripadanya dalam senarai individu dikehendaki.

Menurutnya, pada 2.23 pagi tadi, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) mengesan kenderaan suspek dalam keadaan mencurigakan di Persiaran Industri Kota Damansara, di sini dan mengarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Namun suspek cuba melarikan diri dan memandu secara agresif sehingga ke Air Panas, Semarak di Kuala Lumpur sebelum berjaya ditahan di Jalan Air Jernih.

“Semua empat lelaki dalam kenderaan ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah curi.

“Antaranya, sebilah parang, pahat, playar, pemotong besi, kuku kambing, pemutar skru dan dua gulung tali ratchet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek pertama memiliki 16 rekod jenayah lampau, suspek kedua (19 rekod), suspek ketiga (15 rekod) dan suspek keempat (16 rekod).

Katanya, kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 18(i)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan pemilikan peralatan pecah rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top