Lebih sejuta 'Army' beratur rebut tiket BTS

Lebih sejuta 'Army' beratur rebut tiket BTS

Lebih sejuta 'Army' beratur rebut tiket BTS


Kuala Lumpur : Demam BTS kembali melanda Malaysia apabila lebih sejuta peminat sanggup beratur secara dalam talian bagi merebut tiket konsert siri jelajah dunia kumpulan sensasi K-pop itu, Arirang yang bakal berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil, di sini, Disember depan.

Sambutan luar biasa terhadap jualan umum yang dibuka pada 5 Jun lalu menyaksikan lebih satu juta pengguna memenuhi sistem tempahan tiket, sekali gus membuktikan pengaruh BTS masih utuh dalam kalangan peminat tempatan.

Lebih mengujakan, sesi pra jualan eksklusif untuk ahli ‘Army’ pada 3 Jun lalu turut mencatatkan rekod apabila 1.3 juta pengguna membanjiri ruang menunggu sehingga menyebabkan sistem sesak, sebelum tiket habis dijual dalam tempoh kira-kira lima jam.

Ramai peminat meluahkan kekecewaan apabila berdepan kesukaran mengakses laman web jualan tiket berikutan trafik yang terlalu tinggi selain gangguan sistem ketika proses pembelian.

Permintaan luar biasa terhadap konsert yang akan berlangsung selama dua malam bermula 12 Disember depan itu menyebabkan semua tiket habis dijual dalam tempoh singkat.

Malah, kategori Restricted View atau pandangan terhad yang dibuka kemudian oleh penganjur, Live Nation Malaysia bagi memenuhi permintaan peminat turut habis dijual dengan pantas.

Susulan tiket rasmi habis dijual, ramai peminat yang masih gagal mendapatkan tiket kini bergantung kepada pasaran jualan semula.

Bagaimanapun, peminat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan atau pembelian tiket pada harga yang tidak munasabah.

Mereka disaran menggunakan platform jualan semula yang disahkan selain memilih kaedah pembayaran yang menawarkan perlindungan kepada pembeli.

Peminat juga digalakkan mengikuti perkembangan terkini menerusi laman rasmi Live Nation Malaysia dan Trip.com sekiranya terdapat pelepasan tiket tambahan atau sebarang pengumuman rasmi daripada penganjur.

Bagi pemegang keahlian ‘Army’ (Global) yang membuat pendaftaran antara 22 hingga 27 Mei lalu, mereka diberikan akses pembelian awal pada 3 Jun dari jam 11 pagi hingga 10 malam.

Sesi jualan khas Trip.com pula berlangsung pada 4 Jun bermula jam 9 pagi hingga 11.59 malam, diikuti jualan Live Nation pada hari sama dari jam 11 pagi hingga 10 malam.

Jualan umum dibuka pada 5 Jun bermula jam 11 pagi dengan harga tiket ditawarkan antara RM338 hingga RM1,288.

Menurut penganjur, konsert berkenaan akan menggunakan susunan tempat duduk sepenuhnya di stadium terbuka, justeru jarak dan sudut pandangan penonton berbeza mengikut lokasi tempat duduk yang dipilih.

Kuala Lumpur menjadi antara destinasi penting dalam siri jelajah Asia BTS selepas kumpulan itu mengumumkan beberapa lokasi utama lain termasuk Seoul, Tokyo, Bangkok dan Singapura.

BTS yang dianggotai Jin, J-Hope, Jimin, Jungkook, RM, Suga dan V kini sedang mengadakan siri jelajah di Amerika Utara sempena pelancaran album baharu mereka yang diperkenalkan di Goyang, Korea Selatan, bulan lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top