am@hmetro.com.my
Alor Setar: Wanita cedera di kepala, dahi kiri dan lebam lutut kanan dipercayai dipukul adik ipar dalam kejadian di Taman Budiman, di sini.
Susulan kejadian, polis menahan lelaki berkenaan yang berusia 33 tahun untuk siasatan Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan mangsa berusia 36 tahun dengan kejadian dilapor berlaku kira-kira 7 malam Selasa, ketika dia berada di rumah bersama ahli keluarga.
“Mangsa mendakwa suspek memandu kereta dengan laju dan berhenti mengejut di hadapan rumah. Dalam kereta terdapat isteri (yang juga adik mangsa) dan anak berusia dua tahun.
“Mangsa kemudian memegang penyapu dan mengarahkan suspek keluar dari kereta. Berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum dileraikan ibu bapa mangsa.
“Suspek kemudian dikatakan menolak kakak iparnya hingga jatuh dan terkena dinding rumah hingga mangsa cedera,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan suspek yang juga penjawat awam berang mangsa masuk campur dalam urusan rumah tangganya.
“Mangsa adalah anak sulung daripada lima adik beradik dan belum berkahwin, tinggal di rumah itu bersama ibu bapa dan adiknya iaitu isteri suspek serta anak suspek,” katanya memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






