Ahmad Samsuri tandatangan watikah calon PN

Ahmad Samsuri tandatangan watikah calon PN


PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menandatangani watikah pelantikan calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk daripada komponen baharu gabungan tersebut, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), semalam.

Dalam satu perkongsian di Facebook miliknya, Ahmad Samsuri dilihat menandatangani watikah calon-calon PN dalam lima fail membabitkan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan, MIPP dan Pejuang.

“Malam tadi saya menandatangani watikah pelantikan calon-calon Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor.

“Setiap tandatangan bukan sekadar memenuhi proses pencalonan, tetapi amanah besar untuk membawa suara rakyat, menawarkan penyelesaian dan membina masa depan yang lebih baik untuk Johor.

“Semoga Allah SWT merestui dan mengurniakan kemenangan kepada calon-calon Perikatan Nasional dan dipermudah segala urusan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Perkongsian Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu itu sekali gus memberi isyarat bahawa pembahagian kerusi membabitkan PN telah pun selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Semalam, PN mengadakan mesyuarat agihan kerusi PRN Johor dengan dipengerusikan oleh Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Dalam mesyuarat itu, Muhammad Sanusi mengesahkan semua parti komponen yang bertanding akan menggunakan logo PN dalam pilihan raya tersebut.

Beliau juga memaklumkan, Bersatu akan bertanding paling banyak kerusi dalam PRN Johor namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung agihan kerusi. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top