Tan Cheng Hoe dilantik ketua jurulatih interim Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe dilantik ketua jurulatih interim Harimau Malaya


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski.

FAM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian serta pemahaman mendalam Tan Cheng Hoe terhadap landskap bola sepak negara.

Menurut badan induk itu, pengalaman dan kepakaran jurulatih berusia 58 tahun itu dilihat mampu membantu memperkukuhkan prestasi skuad kebangsaan dalam menghadapi cabaran akan datang.

Cheng Hoe bukan nama asing dalam arena bola sepak negara apabila pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dari Disember 2017 hingga Disember 2021.

Antara pencapaian terbaik beliau di pentas antarabangsa adalah membantu Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 selaku penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal, selain membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 sebagai ketua jurulatih.

Di peringkat domestik, Cheng Hoe turut mencipta kejayaan bersama Kedah apabila membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.

Beliau kemudian membimbing Selangor dari 2022 hingga 2024 sebelum berhijrah ke Thailand bersama Police Tero FC.

Pada April tahun lalu, Tan Cheng Hoe kembali menyertai FAM selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.

FAM berharap pelantikan beliau sebagai ketua jurulatih interim mampu memberikan nafas baharu kepada Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan daya saing pasukan di pentas Asia dan antarabangsa.



Source link

OR

Scroll to Top