Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan beliau akan memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan lanjut berhubung projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam.
Terima teguran secara terbuka
Memetik laporan daripada Astro Awani, beliau menyatakan teguran yang dizahirkan Sultan Sharafuddin Idris Shah diterima secara terbuka dan akan dijadikan peluang untuk menjelaskan fakta serta pendirian kerajaan berhubung projek berkenaan.
“Hari ini juga ada kenyataan bersama daripada Lim Guan Eng dan Tony Pua berkenaan fakta-fakta yang perlu diketengahkan. Jadi teguran itu kita terima dan saya akan cuba memohon menghadap Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan.
“Bukannya soal kita hendak membatalkan projek itu, cuma untuk merasionalisasikan kos projek tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malam amal di sebuah restoran di Muar, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan menggesa semua pengundi supaya pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Beliau memaklumkan, kementeriannya telah mengambil beberapa langkah bagi memudahkan perjalanan pengundi, termasuk menambah kekerapan perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS).
“KTMB telah menambah trip ETS dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Mereka yang pulang dari Singapura juga boleh menggunakan ETS ke Segamat dan Labis, manakala mereka dari utara turut boleh menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke Johor.
“Kita harap dengan pertambahan mod pengangkutan awam ini, lebih ramai pengundi akan pulang menunaikan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Beliau berharap penambahan perkhidmatan pengangkutan awam itu dapat menggalakkan lebih ramai rakyat pulang mengundi sempena PRN Johor.
Sumber: Astro Awani (Shuhada Abdul Kadir)






