KUALA TERENGGANU: Minat yang mendalam terhadap seni warisan batik mendorong seorang lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maritim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menceburkan diri dalam perusahaan batik secara sepenuh masa.
Bagi Nur Shakilah Abdul Kadir, 25, keputusan itu bukan sesuatu yang sukar apabila dia melihat potensi industri batik terus berkembang di samping menyumbang kepada usaha memulihara warisan seni tradisional negara.
Katanya, minat tersebut dikongsi bersama kakaknya, Nur Farhana, 31, yang berkelulusan dalam bidang pemasaran sebelum mereka memulakan perusahaan batik pada 2023 di Kampung Pasir Panjang, di sini.
“Pada mulanya ayah, Abdul Kadir Muda, 67, hanya menjual batik di Pasar Payang. Melihat sambutan yang baik, kami berdua mengambil keputusan untuk menghasilkan batik sendiri.
“Kami belajar menghasilkan batik daripada rakan ayah. Di peringkat awal, peralatan membatik hanya dipinjam sebelum kami membeli kelengkapan sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Nur Shakilah berkata, proses mempelajari seni batik memerlukan kesabaran dan ketelitian kerana setiap hasil cantingan mempunyai keunikan tersendiri.
“Saya memang meminati bidang seni. Membatik memberi kepuasan kerana saya dapat mencurahkan idea dan kreativiti di atas sehelai kain putih sehingga menjadi karya yang mempunyai nilai seni.
“Kami masih mengekalkan penggunaan kaedah tradisional iaitu batik canting dan batik blok kerana mahu mengekalkan keaslian hasil kerja,” katanya.
Menurutnya, antara keistimewaan produk yang dihasilkan adalah gabungan corak moden dan klasik dengan potongan longgar yang sesuai digayakan pelbagai peringkat usia bagi baju blaus untuk wanita.
Katanya, selain dipasarkan di Pasar Payang, produk batik mereka dijual menerusi pelbagai platform media sosial bagi memperluas pasaran kepada pelanggan di seluruh negara.
Nur Shakilah berkata, dia berbangga dapat menjadi antara pelapis muda dalam industri batik yang semakin memerlukan penyertaan generasi baharu bagi memastikan warisan tersebut terus kekal relevan.
“Insya-Allah, kami juga sedang dalam proses menyiapkan ruang pameran batik di rumah sebagai galeri kecil untuk memudahkan pelanggan melihat sendiri koleksi yang kami hasilkan,” katanya. – UTUSAN






