Kuala Lumpur: Jenama kentang goreng goncang (shaker fries) tempatan pertama dari Malaysia, Happy Potato, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menembusi empat pasaran antarabangsa dalam tempoh hanya enam bulan.
Kejayaan agresif itu sekali gus mencatatkan perkembangan terpesat syarikat sejak penubuhannya tujuh tahun lalu, dengan kini mengendalikan keseluruhan 126 cawangan di lima negara.
Di peringkat domestik, Happy Potato turut menggandakan jumlah cawangannya di Malaysia kepada 117 cawangan, manakala baki rangkaian antarabangsa merangkumi tiga cawangan di Bangladesh serta masing-masing dua cawangan di Indonesia, China dan Kemboja.
Perjalanan jenama ini bermula pada tahun 2019 menerusi cawangan pertamanya di Suria Sabah, Kota Kinabalu, sebelum melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia pada Oktober 2023 dan memperluas rangkaian francaisnya dengan pantas dalam tempoh dua tahun.
Langkah peluasan operasi di peringkat antarabangsa dimulakan menerusi pasaran Bangladesh dan Indonesia pada Februari 2026, diikuti China sebagai pasaran ketiga pada Mei, serta penembusan ke Kemboja pada Julai ini selain pembukaan cawangan tambahan di Bangladesh.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Happy Potato, Edmund Lim berkata, pencapaian luar biasa itu dipacu oleh persediaan rapi berpanjangan bagi memperkukuh model francais, sistem operasi dan pembangunan jenama sebelum melangkah ke luar negara.
“Pembukaan cawangan baharu hanyalah sebahagian daripada strategi. Cabaran utama kami adalah memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman, kualiti produk dan nilai perkhidmatan yang konsisten tanpa mengira cawangan yang dilawati.
“Tempoh enam bulan ini menjadi medan menguji sistem operasi dan sokongan francais kami di pelbagai pasaran yang mempunyai dinamik berbeza, sekali gus membantu kami mengenal pasti pendekatan terbaik untuk terus berkembang,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran jangka panjang, Edmund berkata, pihaknya menyasarkan untuk memiliki sekurang-kurangnya 200 cawangan di seluruh negara menjelang 2028, di samping meluaskan lagi empayar jenama berkenaan ke tiga hingga lima negara di rantau Asia.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas Bersama syarikat, Colleen Phang menekankan bahawa keutamaan mereka tetap terarah kepada kawalan kualiti produk memandangkan kentang goreng sangat sensitif terhadap perubahan suhu dan sistem rantaian sejuk.
Bagi mengimbangi cabaran berkenaan, Happy Potato menjalin kerjasama strategik bersama syarikat pengeluar produk kentang premium terkemuka dunia, McCain Foods, bagi memastikan tekstur kentang kekal rangup di luar dan lembut di dalam walaupun untuk pesanan bawa pulang atau penghantaran.
Bersempena ulang tahun ketujuh dan Hari Kentang Goreng Sedunia pada 13 Julai lalu, Happy Potato kini melancarkan kempen “Happy Shake” di semua cawangannya sehingga 8 September depan, yang menawarkan tawaran istimewa serta pelbagai hadiah menarik buat pelanggan setianya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






