PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menarik diri daripada Kejohanan Badminton Dunia di India, bulan depan, sekali gus tidak mempertahankan gelaran yang mereka menangi pada edisi lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pasangan yang kini jatuh ke ranking No. 7 dunia itu mengambil keputusan tersebut bagi memberi laluan kepada proses pemulihan Ee Wei selepas menjalani pembedahan lutut di Australia.
“Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat perubatan dan pemulihan Ee Wei yang memerlukan satu tempoh yang panjang diberi keutamaan,” kata kenyataan tersebut di sini, hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, BAM turut menghantar permohonan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi melindungi ranking dunia Ee Wei sepanjang pemain itu menjalani tempoh pemulihan.
“BAM mendoakan Ee Wei segera sembuh dan akan sentiasa menanti kepulangan beregu tersebut sebaik dia pulih sepenuhnya nanti,” kata kenyataan itu.
Ee Wei mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sewaktu menyertai Terbuka Singapura, Mei lalu dan sejak itu, pemain kelahiran Melaka tersebut terpaksa disisihkan daripada sebarang penyertaan kejohanan antarabangsa.
Gandingannya, Tang Jie kini dipasangkan sementara dengan pemain muda, Clarissa San dalam usaha mengekalkan tahap kecergasannya sepanjang ketiadaan Ee Wei. – UTUSAN






