Pasangan Perak sukar digugat Terengganu

Pasangan Perak sukar digugat Terengganu


SHAH ALAM: Gandingan Perak, Yong Xuan dan Low Jeng Yih memastikan pingat emas acara bola tampar pantai lelaki menjadi milik mereka selepas menundukkan pasangan Terengganu A pada final Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, semalam.

Beraksi di Gelanggang Bola Tampar Pantai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pasangan Perak A itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan Noraiman Shah dan Muhammad Isma Haziq dengan keputusan 21-15, 21-14.

Kemenangan dalam dua set itu menyaksikan Yong Xuan dan Jeng Yih berjaya mengawal rentak permainan sejak awal perlawanan, sekali gus tidak memberi banyak ruang kepada lawan untuk bangkit.

Jeng Yih ketika ditemui selepas perlawanan berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras yang dilakukan sepanjang persiapan menghadapi temasya SUKMA selain keserasian yang terjalin bersama pasangannya.

“Sudah tentu saya sangat gembira dan bersyukur kerana kami berjaya mencapai sasaran untuk memenangi pingat emas.

“Kemenangan ini bukan datang dengan mudah kerana kami menjalani latihan yang cukup intensif dan sentiasa berusaha memperbaiki setiap aspek permainan sebelum datang ke SUKMA.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan dan semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami. Pingat emas ini adalah hasil usaha bersama,” katanya.

Menurut Jeng Yih, kunci kejayaan mereka adalah kekal tenang dan berdisiplin sepanjang perlawanan meskipun berdepan pasangan Terengganu yang terkenal dengan corak permainan agresif.

Katanya, perancangan taktikal yang disusun sebelum perlawanan berjaya diterjemahkan dengan baik di gelanggang dan membantu mereka menguasai kedua-dua set.

“Kami cuba fokus kepada permainan sendiri dan tidak terlalu memikirkan tekanan perlawanan akhir. Apabila berjaya mendapatkan mata awal, keyakinan kami semakin meningkat.

“Pada masa sama, komunikasi yang baik antara saya dan Yong Xuan banyak membantu terutama ketika berdepan situasi sukar dalam perlawanan,” ujarnya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top