TERENGGANU FC (TFC) memulakan saingan Liga Super dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Melaka FC pada aksi pembukaan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus malam ini.
Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain yang menguasai permainan pada babak pertama membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi penyudah penyerang import dari Curacao, Gervane Kastaneer yang menyambar hantaran Victor Ruiz.
Melaka FC cuba melakukan serangan balas dan beroleh peluang pada minit ke-18, namun tandukan Argzim Redzovic tersasar dari pintu gol.
Pada minit ke-40 Ruiz menggandakan jaringan untuk tuan rumah menerusi rembatan jarak jauh membolehkan TFC selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian E. Elavarasan hampir mencetak gol pertama pelawat pada minit ke-67, malangnya rembatan Ruventhiran pula terkena palang sebelum melambung keluar.
Pada minit ke-80, Kastaneer menambah derita pelawat apabila meledak gol ketiga pasukan dan gol kedua peribadi untuk memastikan TFC meraih tiga mata sulung.
Sementara itu di Kelantan, tuan rumah Kelantan Red Warrior gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila tumpas 1-4 di tangan Selangor FC.
Pasukan pelawat tampil agresif sejak awal permainan dengan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah bagi memburu gol pembukaan.
Bagaimanapun, pengadil Mohamad Kamil Zakaria Ismail terpaksa menangguhkan perlawanan selama 15 minit berikutan hujan dan guruh yang melanda Kota Bharu sejak petang tadi.
Sebaik perlawanan bersambung, Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi tandukan pemain import Chrigor Moraes selepas menerima hantaran lintang rakan sepasukan dari sebelah kanan gawang Kelantan.
Pemain Selangor FC, Chrigor Flores Moraes (tiga, kanan) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan di Stadium Sultan Mohammad lV. Foto Bernama
Selangor kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-28 menerusi Faisal Halim yang melakukan gerakan solo sebelum mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Amin Faisal.
Faisal sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-49 apabila menggelecek melepasi tiga pemain pertahanan Kelantan sebelum melepaskan rembatan untuk meletakkan Selangor selesa mendahului 3-0.
Kelantan yang hanya menggunakan khidmat dua pemain import bagaimanapun tidak mengalah dan cuba melancarkan serangan balas ke kawasan lawan bagi mencari jaringan di hadapan penyokong sendiri.
Usaha tuan rumah berhasil pada minit ke-60 apabila pemain import Philip Musa mudah menolak masuk bola ke gawang Selangor hasil hantaran lintang rendah rakan sepasukan.
Chrigor kemudian melengkapkan jaringan keduanya untuk Selangor menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang rakan sepasukan dari sebelah kanan gawang Kelantan, sekali gus membantu pasukan pelawat mencatat kemenangan 4-1. – Bernama
