FELDA rugi RM9 bilion? TPM Zahid mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke pengadilan


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa audit forensik dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau pelanggaran tatakelola dalam pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

FELDA hadapi masalah yang besar & lama

Memetik laporan daripada Bernama, beliau menyatakan, audit pengurusan sahaja tidak memadai memandangkan isu melibatkan agensi itu telah berlarutan sejak sekian lama dan mengakibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit.

“FELDA menghadapi permasalahan yang begitu besar dan lama. Kehilangan atau kerugian RM9 bilion tidak boleh ditoleransikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif bersempena dengan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di ibu negara hari ini.

Pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke pengadilan

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditanya mengenai sokongan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat FELDA.

Beliau menambah, pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan sekiranya terdapat bukti kukuh, namun siasatan berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk menganiaya atau memalukan mana-mana individu.

Dalam masa sama, kerajaan akan terus melindungi kepentingan serta kebajikan 225,000 peneroka FELDA dan generasi pertama hingga kelima yang secara keseluruhannya melibatkan kira-kira 1.8 juta orang.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menunggu laporan lengkap pasukan petugas khas yang menyiasat isu pengurusan FELDA sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.

Anwar berkata pasukan petugas khas itu telah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat sebelum didedahkan kepada umum seperti laporan RCI mengenai Tabung Haji.

Sumber: Bernama





Source link

OR

Scroll to Top