amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras kepada peniaga dalam talian yang melanggar peraturan terutamanya menjelang musim perayaan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti perdagangan elektronik, termasuk penjualan pakaian secara dalam talian untuk melindungi hak pengguna.
Menurutnya, Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 menetapkan peniaga wajib mendedahkan maklumat seperti nama peniaga, harga termasuk kos penghantaran, terma pembayaran dan anggaran masa penghantaran.
“Sehingga Disember 2024, sebanyak 33 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima KPDN adalah melibatkan transaksi dalam talian.
“Peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan maklum balas berhubung laporan Harian Metro mengenai trend pembelian pakaian secara dalam talian ketika musim perayaan.
Azman berkata, KPDN turut memberi perhatian terhadap isu harga tidak adil, iklan mengelirukan dan promosi palsu yang sering menjadi subjek aduan pembeli dalam talian.
“Penjual yang sengaja mengelirukan pembeli dengan harga yang tidak sama seperti yang diiklankan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pakaian yang dijual perlu menepati spesifikasi yang diiklankan, manakala penjualan pakaian tiruan dipantau di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Sehingga kini, katanya, KPDN melaksanakan 4,958 tindakan sekatan laman web (site blocking) dan 3,645 tindakan penurunan kandungan iklan (content removal) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika membuat pembelian secara dalam talian. Pengguna juga perlu mengelak daripada menyokong peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kerana ia akhirnya merugikan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, selain penguatkuasaan, KPDN turut menjalankan pelbagai kempen kesedaran melalui media sosial dan advokasi untuk mendidik pengguna mengenai hak dan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, pengguna juga digalakkan melaporkan sebarang aktiviti tidak beretika melalui inisiatif KITA GEMPUR dengan aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800, atau aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.
Harian Metro sebelum ini melaporkan pembelian secara dalam talian kini menjadi trend berbelanja pilihan ramai terutama dalam membeli pakaian untuk musim perayaan yang bakal menjelang tiba.
Rata-rata pembeli menyatakan mereka lebih cenderung mendapatkan pakaian melalui platform dalam talian kerana menawarkan banyak pilihan pada harga yang lebih murah berbanding pembelian di kedai, selain tidak perlu bersesak di tempat tumpuan ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd