PEP Guardiola memberi amaran bahawa Manchester City hampir mencapai tahap terbaik pasukan itu sama seperti ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut mendominasi bola sepak Inggeris sejak sedekad lalu.
City berada dalam prestasi yang meyakinkan menentang Ipswich Town dan melakar kemenangan besar 6-0 di Portman Road.
Phil Foden meledak dua gol dan masing-masing satu gol daripada Mateo Kovacic, Jeremy Doku, Erling Haaland dan James McAtee kembali melonjakkan pasukan itu dalam kelompok empat terbaik EPL.
Walaupun terdapat beberapa elemen permainan City yang masih perlu diperbaiki, Guardiola berkata, pasukannya melakukan banyak perkara positif ketika mereka berusaha untuk memastikan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Kami sangat gembira, kami kembali melakukan perkara sepatutnya pasukan buat dalam tempoh 10 tahun ini.
“Sungguh gembira untuk tiga mata dan untuk meraih slot kelayakan ke Liga Juara-Juara untuk musim depan, itu akan menjadi sangat sukar.
“Lebih baik. Mungkin bukan yang terbaik tetapi lebih hampir dengan prestasi yang sepatutnya kami lakukan. Kebanyakannya tidak berlaku dalam perlawanan sebelum ini walaupun kami menang,” katanya.
Guardiola mengakui bahawa dia telah memikirkan mengenai perlawanan Liga Juara-Juara dengan Paris Saint-Germain sebelum perlawanan menentang Ipswich itu tamat.
City memerlukan dua keputusan positif untuk memastikan mereka layak ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.
“Selepas empat atau lima gol, saya telah memikirkan mengenai perlawanan menentang PSG. Kami perlu menempuh perjalanan yang jauh. Saya ingin mengucapkan banyak terima kasih kepada peminat kami.
“Setiap kali kami melakukan perjalanan jauh ini, mereka menyertai kami. Kami akan kembali dan bersedia untuk perlawanan akhir.
“Kami mempunyai dua perlawanan terakhir, menang dua kami layak, menang satu ada kemungkinan besar (layak). Kami perlu mendapatkan mata kerana kami mencipta masalah sendiri terutamanya selepas perlawanan menentang Feyenoord,” katanya.