JAGUH tenpin boling negara Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam melakar sejarah apabila muncul wakil negara pertama meraih gelaran juara Jelajah Persatuan Boling Profesional (PBA) di Amerika Syarikat (AS), pada Rabu.
Atlet berusia 25 tahun itu dinobatkan sebagai juara PBA Chameleon selepas menewaskan wakil tuan rumah, Kevin McCune 269-227 dalam saingan akhir stepladder di National Bowling Stadium Reno, Nevada.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook PBA, Tun Ameerul Luqman menyifatkan kemenangan bersejarahnya itu sebagai satu pencapaian yang menakjubkan.
“Ia amat menakjubkan muncul juara Jelajah PBA, yang juga gelaran pertama saya. Ia adalah untuk semua rakyat Malaysia. Saya sayang anda semua dan terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Tun Ameerul Luqman sebelum itu mendominasi pusingan kelayakan dan mengesahkan slot untuknya ke peringkat akhir stepladder.
Beliau bermula dengan baik apabila mengatasi pemain AS, Boog Krol dengan 237-226, 216-247, 268-267, 279-187.
Tun Ameerul Luqman kemudian meneruskan momentum cemerlang apabila menewaskan juara 12 kali Jelajah PBA dari Sweden, Jesper Svensson, 245-214, 245-228, 254-215.
Kemenangan itu menyaksikan atlet berkenaan membawa pulang AS$20,000 (kira-kira RM88,618) dan piala.
Sementara itu, juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail terlepas peluang muncul wakil negara pertama memenangi Jelajah PBA apabila tewas kepada wakil Sweden, Rasmus Edvall, 172-224 dalam saingan final stepladder PBA Scropion Championship.