Tidak sempat bawa keluar Ungka Tangan Hitam, kura-kura Red-Eared Slider

Tidak sempat bawa keluar Ungka Tangan Hitam, kura-kura Red-Eared Slider


mhafis@mediaprima.com.my

Sepang: Cubaan lelaki warga India menyeludup hidupan liar bagi spesies Ungka Tangan Hitam dan kura-kura Red-Eared Slider melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, gagal selepas ditahan Ahad lalu.

Lelaki itu yang dipercayai dijadikan ‘keldai’ penyeludupan ditahan pada 10 malam, hasil tindakan pantas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Bantuan KLIA.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek ditahan ketika mahu menaiki penerbangan ke Tiruchirapalli, India.

Menurutnya, pemeriksaan pada bagasi dibawa lelaki berusia 21 tahun itu menemui seekor disyaki Ungka Tangan Hitam serta enam ekor kura-kura Res-Eared Slider.

“Penumpang (suspek) terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berkaitan hidupan liar itu dan nilai sitaan hidupan liar dianggarkan RM12,200,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek diupah menyeludup hidupan liar keluar dari Malaysia dengan cara menyorokkannya dalam bagasi.

“Lelaki terbabit disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686],” katanya.

Katanya, Perhilitan komited membanteras jenayah hidupan liar demi memastikan kelestarian khazanah serta biodiversiti negara.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan sedemikian diminta menyalurkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top