Program Podium bantu skuad boling padang kekal kuasa Asia

Program Podium bantu skuad boling padang kekal kuasa Asia


Skuad boling padang negara melabuh kempen Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 dan Kejohanan Bawah 25 Tahun ke-14 2025 di Clark, Filipina dengan mengekalkan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

PEMAIN boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple menyifatkan penyenaraian semulanya ke dalam Program Podium sebagai antara faktor utama kejayaan konsisten beliau di Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 dan Kejohanan Bawah 25 Tahun (B-25) ke-14 yang berlangsung di Clark, Filipina baru-baru ini.

Menurut Izzat, program tersebut memberikan ruang kepada atlet untuk menjalani latihan yang lebih terancang dan menyeluruh menjelang kejohanan.

“Syukur, alhamdulillah kami berjaya mengekalkan gelaran juara keseluruhan Asia tahun ini dengan membawa pulang tujuh pingat emas, berbanding tiga emas pada tahun lalu.

“Bagi saya, Program Podium sangat membantu dari segi persediaan fizikal dan mental, selain sokongan yang diberikan oleh ISN (Institut Sukan Negara),” katanya kepada Sukan Sinar.

Skuad negara menamatkan kempen dengan pungutan membanggakan meraih tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa, sekali gus mengukuhkan status Malaysia sebagai kuasa besar boling padang di rantau Asia.

Tujuh pingat emas itu diperoleh menerusi acara berpasukan lelaki (pairs, triples dan fours), berpasukan wanita (perseorangan dan pairs) serta pasukan B-25 (perseorangan wanita dan beregu campuran).

Mengulas persiapan ke kejohanan seterusnya, Izzat memaklumkan beliau akan kembali ke padang latihan bagi menghadapi Terbuka Australia yang dijadualkan berlangsung di Gold Coast pada Jun depan.

“Kejohanan di Gold Coast juga sebagai pendedahan kompetitif dan pemilihan untuk kejohanan Piala Dunia di Hong Kong pada November,” katanya.

Sebagai rekod, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini mengumumkan Izzat dan Nor Farah Ain Abdullah kembali dalam Program Podium.

Menurut Hannah, kemasukan kedua-dua atlet tersebut bagi membantu mereka untuk menyertai lebih banyak kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa sekali gus mengukuhkan ranking masing-masing.



Source link

OR

Scroll to Top