rencana@hmetro.com.my
Ramai wanita yang kurang pasti cara memilih warna tudung sepadan dengan pakaian, apatah lagi yang sesuai dengan warna kulit masing-masing.
Berikut dikongsikan panduan yang boleh dijadikan rujukan bagi memastikan gaya harian sentiasa kemas, segar dan berseri.
Kenali warna kulit
Sebelum memilih warna pakaian atau tudung, penting anda mengenal pasti jenis warna kulit.
Setiap warna kulit mempunyai kecenderungan warna tertentu yang boleh menyerlahkan wajah.
Kulit cerah
Warna lembut seperti biru muda, peach, merah jambu pudar dan ungu lembut sangat sesuai kerana memberi kesan lembut serta feminin.
Elakkan warna yang terlalu pucat seperti putih bersih atau perang cair kerana boleh menyebabkan wajah kelihatan lesu.
Kulit sederhana
Warna seperti hijau zaitun, merah hati, kuning tua, biru tua dan perang sederhana mampu menyerlahkan kehangatan serta keseimbangan dalam penampilan.
Kulit sawo matang dan gelap
Warna terang seperti merah menyala, kuning diraja, jingga tanah, hijau zamrud dan biru kehijauan amat sesuai kerana memberikan kontra yang menarik serta menceriakan wajah.
Padanan bertentangan atau seiring bertentangan
Gaya ini menggunakan dua warna berbeza yang saling bertentangan untuk mewujudkan penampilan yang lebih menyerlah dan bertenaga.
Contohnya, pakaian berwarna krim boleh dipadankan dengan tudung warna hijau tua atau biru tua. Teknik ini sesuai untuk individu yang berani dan ingin tampil moden.
Seiring
Gaya ini menggunakan warna daripada palet yang hampir sama contohnya pakaian merah jambu lembut dengan tudung dalam warna ungu muda atau merah hati tua.
Pilihan ini menampilkan gaya yang lebih lembut dan klasik, sangat sesuai untuk ke tempat kerja atau majlis rasmi.
Elakkan padanan warna ‘tenggelam’
Memakai tudung dan pakaian dalam tona warna yang terlalu hampir boleh menyebabkan wajah kelihatan pucat. Contohnya, memakai pakaian kelabu cair dengan tudung kelabu muda boleh menjadikan penampilan tidak menyerlah.
Jika ingin bermain selamat, pastikan terdapat sedikit perbezaan dalam kekuatan warna atau padankan dengan aksesori seperti kerongsang, beg tangan atau kasut yang memberikan penegasan terhadap penampilan.
Sesuaikan dengan acara dan lokasi
Pemilihan warna juga perlu mengambil kira suasana dan tujuan sesuatu acara.
Untuk ke tempat kerja warna semula jadi seperti hitam, kelabu, perang sederhana atau biru tua amat sesuai kerana memberi kesan profesional dan kemas.
Bagi acara rasmi atau majlis perkahwinan, wanita boleh berani memilih warna yang lebih terang seperti merah hati, hijau zamrud, merah jambu terang atau ungu tua, bergantung pada waktu dan jenis acara. Namun begitu, gaya sederhana tetap menjadi pilihan utama agar tidak kelihatan berlebihan.
Sempurnakan gaya dengan solekan asas
Warna tudung dan pakaian yang sesuai akan lebih menyerlah jika digabungkan dengan solekan asas.
Cukup dengan bedak ringan, pemerah pipi lembut dan gincu berona semula jadi untuk memastikan wajah kelihatan segar dan berseri sepanjang hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd