‘Kaitkan dengan realiti hari ini jika bercerita sejarah UMNO’

‘Kaitkan dengan realiti hari ini jika bercerita sejarah UMNO’


BUTTERWORTH : Pemimpin UMNO khususnya perlu memainkan peranan dengan mempelbagaikan teknik atau pendekatan untuk menarik minat generasi muda mendekati parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pendekatan itu termasuk ketika bercerita mengenai sejarah perjuangan parti tersebut kepada golongan berkenaan.

“Bukan semua generasi muda ini tidak suka mendengar cerita sejarah (mengenai perjuangan UMNO). Tetapi, sebagai pemimpin UMNO, kita kena cuba pelbagaikan pendekatan kerana generasi muda ini pelbagai, maka, minatnya juga berbeza.

“Tapi, soal sejarah parti, latar belakang parti, mesti kita terus perkukuhkan dan tanam dalam jiwa mereka. Cuma, kaedah itu perlu sesuai dengan perubahan yang berlaku kepada mereka (generasi muda).

“Sebagai contoh, kalau ikut sejarah parti, kita memperjuangkan kepentingan orang Melayu suatu ketika dulu. Maka, hari ini, mereka nak tengok, betulkah UMNO masih memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan sebagainya?

“Maknanya di sini, apabila kita cerita perihal sejarah UMNO, maka, kita kena buktikan dengan realiti yang berlaku pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Kawan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, UMNO harus terus memainkan peranannya sebagai jurubicara atau penghubung rakyat termasuk dalam memperjuangkan isu-isu yang menyentuh kehidupan mereka.

Katanya, apabila UMNO berjuang demi kepentingan rakyat, maka, rakyat akan melihat parti itu penting buat mereka.

“Berjuang ini termasuk berjuang soal kebajikan rakyat, soal ekonomi, kehidupan mereka dan soal anak muda kerana rakyat di luar bandar dan bandar itu realitinya tidak sama. Jadi, mesti pelbagaikan pendekatan dan cara untuk meraih sokongan.

“Oleh itu, saya melihat bahawa kita harus terus bercakap soal-soal rakyat dan bawa apa isu yang rakyat inginkan. Sebab itu, dalam ketika kita menjaga keutuhan (Kerajaan Perpaduan), kita juga harus terus dengan perjuangan kita (membela nasib rakyat),” ujar beliau.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top