Liverpool buru trofi sulung musim baharu

Liverpool buru trofi sulung musim baharu

Liverpool buru trofi sulung musim baharu


Liverpool akan menentang Crystal Palace dalam aksi Perisa Komuniti pada Ahad.

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot teruja dengan peluang untuk menjulang trofi dalam aksi pertama musim ini apabila juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu menentang Crystal Palace pada perlawanan Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada Ahad.

Musim lalu, The Reds menamatkan saingan liga dengan rekod kejuaraan ke-20 empat perlawanan sebelum tirai saingan dilabuhkan. Namun, Slot tetap memperkuat skuad dengan perbelanjaan hampir £300 juta (RM1.7 bilion) di pasaran perpindahan.

Penyerang baharu Florian Wirtz dan Hugo Ekitike, selain bek kiri Milos Kerkez serta pertahanan kanan Jeremie Frimpong berpeluang membuat penampilan sulung di hadapan penyokong Liverpool di Wembley.

Perlawanan pembuka tirai tradisi bola sepak England ini menemukan juara Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan pemenang Piala FA.

“Kebiasaannya, anda perlu bermain banyak perlawanan sebelum berpeluang memenangi sesuatu.

“Kali ini, kami ada peluang untuk menang sesuatu di awal musim. Malangnya, lawan kami ialah Crystal Palace yang memang sukar ditewaskan.

“Mereka telah buktikan dalam final Piala FA lalu malah di separuh akhir juga betapa sukar untuk menang perlawanan bertemu mereka,” katanya.

Palace bakal membuat penampilan pertama dalam aksi ini selepas mencipta kejutan menumbangkan Manchester City 1-0 pada Mei lalu untuk merangkul trofi utama pertama kelab itu.

Namun, kegembiraan The Eagles sedikit tercalar apabila mereka disingkirkan daripada saingan Liga Europa dan diturunkan ke Liga Persidangan Eropah akibat melanggar peraturan pemilikan berbilang kelab UEFA.

Ahli perniagaan Amerika Syarikat, John Textor memiliki pegangan dalam Palace dan juga merupakan pemilik majoriti kelab Perancis Lyon yang turut layak ke Liga Europa.

Walaupun Textor telah menjual sahamnya kepada pemilik New York Jets, Woody Johnson UEFA memutuskan Palace gagal memenuhi tarikh akhir bagi mengelakkan pelanggaran peraturan tersebut.

Menurut peraturan pemilikan berbilang kelab UEFA, Lyon dibenarkan kekal dalam saingan kedua tertinggi Eropah kerana mereka menamatkan Ligue 1 di kedudukan keenam, lebih tinggi berbanding Palace yang hanya di tempat ke-12 Liga Perdana musim lalu.



Source link

OR

Scroll to Top