FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada FIFA mengenai hukuman denda kepada badan induk itu dan hukuman gantung 12 bulan kepada pemain warisan negara. – Foto: MALAYSIA NT
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pihaknya bersedia mengemukakan rayuan berhubung keputusan penghakiman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebaik sahaja menerima dokumen penuh keputusan tersebut secara rasmi.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu dokumen lengkap daripada FIFA bagi membolehkan proses rayuan dimulakan mengikut saluran sewajarnya.
Menurutnya, pasukan guaman FAM sudah bersiap sedia mengambil tindakan lanjut sejurus dokumen berkenaan diperoleh.
“Sebaik sahaja keputusan penuh diterima, pasukan guaman FAM akan mengemukakan rayuan dengan dokumen sokongan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara telah dihukum oleh FIFA berhubung isu pemalsuan dokumen.
FAM telah dikenakan denda RM1.8 juta dan tujuh pemain warisan tersebut iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca didenda serta digantung 12 bulan.
Ringkasan AI
- Persatuan Bolasepak Malaysia bersedia mengemukakan rayuan kepada FIFA selepas menerima dokumen keputusan rasmi
- Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menyatakan masih menunggu dokumen lengkap daripada FIFA
- Pasukan guaman FAM sudah bersiap sedia untuk tindakan lanjut rayuan
- Rayuan akan dikemukakan dengan dokumen sokongan yang kukuh
- FAM dan tujuh pemain warisan negara dihukum oleh FIFA kerana isu pemalsuan dokumen