Maruah juara taruhan Seksyen 20

Maruah juara taruhan Seksyen 20

Maruah juara taruhan Seksyen 20


PENYANDANG Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, bersedia mempertahankan keunggulan mereka apabila sekali lagi berdepan pencabar tradisi, SK Seri Pristana dalam aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih Kejohanan Bolasepak Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 (B-12) 2025 di Padang SK Putra Heights 2, pada Khamis.

Pertembungan dua seteru lama itu bakal menghidupkan semula memori final edisi lalu yang menyaksikan Seksyen 20 menjulang kejuaraan selepas menundukkan Seri Pristana menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 di Padang SUK Latihan Selangor, November tahun lalu.

Kemenangan itu turut melengkapkan musim gemilang skuad muda dari Shah Alam apabila mereka sebelum ini menjuarai Piala Sumbangsih 2024 selepas membenam SK Seri Selangor 6-1 di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), SMK USJ 23, Subang Jaya.

Pengendali SK Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari menegaskan pasukannya tidak akan mengambil mudah perlawanan kali ini kerana sedar Seri Pristana pastinya datang dengan misi membalas dendam.

“Sudah tentu kami akan beri saingan hebat dalam Piala Sumbangsih kali ini. Fokus utama bukan sekadar mempertahankan kejuaraan, tetapi juga membuktikan pasukan kami masih dominan dalam bola sepak akar umbi Selangor,” katanya kepada Sukan Sinar.

Nik Juhaidi berkata, barisan pemain sedia ada cukup bersemangat untuk mengulangi pencapaian lalu meskipun sedar cabaran kali ini jauh lebih sengit dengan peningkatan mutu pasukan lain.

“Kami mahu terus kekal konsisten dan berdisiplin dalam setiap perlawanan. Apa pun keputusan nanti, saya mahu pemain menikmati permainan dan tunjukkan semangat juang tinggi,” katanya.

Untuk edisi kali ini, saingan dijangka lebih berwarna dengan penyertaan 32 pasukan dari seluruh Selangor yang dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16 terbaik sebelum diteruskan ke suku akhir, separuh akhir dan final.

Kejohanan yang terus mendapat sokongan padu Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad sebagai penaja utama dan Sinar Harian sebagai media rasmi, menjadi antara platform pembangunan akar umbi paling berprestij di negeri ini.

Selain kejuaraan, ganjaran lumayan turut menanti pasukan terbaik dengan juara bakal membawa pulang RM5,000 berserta pingat, naib juara RM4,000, tempat ketiga RM3,000 manakala keempat RM2,000, masing-masing turut menerima pingat.

INFO

Kejohanan Bolasepak Piala Raja Muda Selangor B-12 2025

Kumpulan A

* SK Seksyen 20, Shah Alam

* SK Saujana Utama, Sungai Buloh

* SK Kota Kemuning, Shah Alam,

* SK Gombak Setia, Gombak

Kumpulan B

* SK Dusun Tua, Hulu Langat

* SK Bukit Kemuning 2, Shah Alam

* SK Taman Universiti, Seri Kembangan

* SK Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang

Kumpulan C

* SK Taman Desa, Rawang

* SK Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu

* SK Damansara Damai 2, Petaling Jaya

* SK Kebun Baharu, Teluk Panglima Garang

Kumpulan D

* SK Binjai Jaya, Sungai Besar

* SK Seksyen 7, Shah Alam

* SK Dusun Nanding, Hulu Langat

* SK Kelana Jaya 1, Petaling Jaya

Kumpulan E

* SK Kampung Baharu Lanjut, Sepang

* SK Bukit Rimau, Shah Alam

* SK Seri Pristana, Kuala Selangor

* SK Seksyen 9, Shah Alam

Kumpulan F

* SK Sungai Lang, Banting

* SK Semenyih, Semenyih

* SK Bukit Naga, Shah Alam

* SK Dato’ Maharaja Lela, Jeram

Kumpulan G

* SK Sri Petaling, Petaling Jaya

* SK Ulu Yam Bharu, Batang Kali

* SK TUDM Subang, Shah Alam

* SK Kuang, Sungai Buloh

Kumpulan H

* SK Saujana Impian, Kajang

* SK Taman Tun Teja, Rawang

* SK Doktor Abdul Latiff, Sabak Bernam

* SK Serdang, Serdang

 

 



Source link

OR

Scroll to Top