July 15, 2024

Bahaya di taman permainan!

Bahaya di taman permainan!



am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Taman permainan kanak-kanak sepatutnya menjadi tempat bermain yang menyeronokkan buat si kecil dan ahli keluarga yang meluangkan masa riadah bersama.

Kewujudannya juga sebagai sebahagian kemudahan infrastruktur dalam perancangan sesebuah bandar untuk dinikmati penduduk.

Bagaimanapun, tinjauan Harian Metro di beberapa taman permainan kanak-kanak di bandar raya ini mendapati ada lokasi riadah itu yang kurang memuaskan.

Mengambil contoh taman permainan kanak-kanak di Taman Nong Chik di sini yang mana alatannya dilihat agak usang, malah ada yang sudah rosak.

Jenis permainan juga seperti ‘ketinggalan’ zaman, menjadikan tidak ramai ibu bapa membawa anak mereka beriadah di situ, sekali gus menjadikan ia satu lagi kemudahan terbiar.

Ibu kepada lima anak, Siti Hajar Gaffar, 41, yang pernah ke taman permainan itu berkata, peralatan permainan yang ada, sudah lama rosak namun tidak dibaiki.

“Anak-anak tidak dapat bermain. Contohnya buaian, sudahlah jenis lama yang menggunakan tayar, besinya pula sudah karat dan ada yang putus.

“Gelongsor pula jenis simen dan rasanya sudah tidak sesuai kerana jika anak-anak main, mereka akan tersekat, perlu turun dengan tenaga sendiri,” kongsinya yang gemar membawa anak-anaknya ke pelbagai taman permainan kanak-kanak sekitar bandar raya ini.

Pekerja swasta, Norhanis Mohammad, 38, pula berpendapat, mana-mana taman permainan kanak-kanak yang rosak atau usang perlu dibaik pulih segera bagi mengelak ia menjadi tempat untuk aktiviti tidak elok.

“Ada taman permainan kanak-kanak rosak, tidak dibaiki dan sudah tidak dikunjungi orang awam.

“Lama-lama yang hadir hanya mereka datang untuk melepak, ada yang melakukan vandalisme kerana beranggapan ia sudah tidak lagi digunakan.

“Perkara ini boleh menyumbang pelbagai lagi aktiviti tidak bermoral lain, jadi perlu ditangani,” kata ibu kepada empat anak itu.

Tinjauan di taman permainan kanak-kanak dekat Taman Bukit Tiram di sini juga mendapati peralatan permainannya sudah rosak, malah persekitarannya kotor.

Rata-rata ibu bapa menzahirkan kekecewaan dan berharap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menambah baik semua taman permainan kanak-kanak yang ada di bawah kawasan pentadbiran mereka.

Walaupun terdapat taman permainan kanak-kanak yang masih elok, ia hanya terletak di beberapa lokasi yang ada antaranya sukar dikunjungi ramai.

>>Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top