Kerajaan Selangor memperuntukkan RM17 juta bagi mewujudkan Biasiswa Pendidikan Kita Selangor untuk membantu mahasiswa dan mahasiswi cemerlang melanjutkan pengajian dalam bidang strategik yang menjadi keutamaan pembangunan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata biasiswa itu diwujudkan bagi memastikan anak Selangor yang berpotensi tidak terhalang meneruskan pengajian hanya kerana kekangan kewangan.
Antara bidang yang diberi keutamaan menerusi inisiatif berkenaan ialah sektor elektronik dan elektrik, sains hayat, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan serta automasi.
“Dampak krisis ini telah mendedahkan peri penting pendidikan dalam meningkatkan peluang dan daya tahan seorang individu supaya cekal menghadapi sebarang cabaran atau ketidaktentuan ekonomi.
“Kerajaan Negeri tidak ingin melihat anak Selangor, terutama mereka yang berpotensi dan mempunyai kesungguhan untuk melanjutkan pelajaran terhalang akibat faktor kewangan.
“Bagi memberikan sinar baharu kepada pelajar di Selangor, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Biasiswa Pendidikan Kita Selangor dengan peruntukan RM17 juta,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor pada Jumaat.
Selain biasiswa baharu itu, kerajaan negeri turut meneruskan Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) sebanyak RM500 setiap semester kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi milik negeri, khususnya Universiti Selangor dan Universiti Islam Selangor.
Pada 22 Februari lalu, Amirudin turut menyampaikan cek cura bernilai RM3 juta kepada penerima BAYU di Kampus Bestari Jaya.
Bagi tahun 2026, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM17.38 juta untuk pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan di institusi pengajian tinggi milik Selangor.
KREDIT GAMBAR UTAMA: UNISEL






