Seorang bilionair dari Romania, Ion ?iriac, dilaporkan pernah terlupa bahawa dia memiliki sebuah Ferrari F40, salah satu supercar paling legenda dalam sejarah. Ion ?iriac bukan sekadar pengumpul biasa. Dia memiliki lebih daripada 400 buah kenderaan dalam koleksinya, merangkumi kereta klasik, supercar moden, jentera perlumbaan, dan model rare yang sukar ditemui di mana-mana.
Koleksi ini dikenali sebagai Tiriac Collection, dan dianggap antara koleksi kereta persendirian terbesar di Eropah. Dengan jumlah yang begitu besar, bukan semua kereta berada di satu lokasi. Ada yang disimpan di beberapa garaj di seluruh Eropah.
Dan di sinilah bermulanya kisah Ferrari F40 yang ini.
Menurut cerita, ?iriac pada asalnya membeli sebuah Ferrari F40 seperti pengumpul lain yang menghargai nilai sejarah dan prestasi model tersebut. Namun apabila nilai F40 mula meningkat, dia mengambil keputusan yang agak luar biasa dengan membeli satu lagi unit. Ini menjadikan dia memiliki dua buah F40 pada satu masa.
Masalahnya ialah salah satu daripada F40 tersebut disimpan di sebuah garaj di Munich, Jerman. Selepas disimpan, kereta itu tidak digunakan dan tidak disentuh untuk satu tempoh yang sangat lama. Disebabkan jumlah koleksi yang terlalu besar dan lokasi simpanan yang berbeza-beza, ?iriac akhirnya terlupa terus tentang kewujudan kereta tersebut.
Selepas kira-kira 10 tahun, penjaga garaj di Munich menghubungi beliau untuk memaklumkan bahawa Ferrari tersebut masih berada di situ. Pada ketika itulah barulah ?iriac tersedar bahawa dia sebenarnya mempunyai sebuah lagi Ferrari F40 yang selama ini tidak direkod dalam koleksinya.
Kisah ini mungkin kedengaran lucu, tetapi ia juga menggambarkan satu realiti dalam dunia pengumpul kereta eksotik mewah. Apabila jumlah aset terlalu besar, pengurusan inventori menjadi satu cabaran jika tidak diuruskan dengan betul.
Untuk meletakkan perkara ini dalam perspektif, Ferrari F40 bukanlah kereta biasa. Ia merupakan model terakhir yang diluluskan sendiri oleh Enzo Ferrari sebelum kematiannya dengan hanya 1,311 unit dihasilkan di seluruh dunia.
Dengan enjin V8 twin-turbo dan karakter pemanduan yang sangat raw, F40 dianggap antara supercar paling hardcore pernah dihasilkan oleh Ferrari. Hari ini, nilainya boleh mencecah puluhan juta ringgit bergantung kepada kondisi dan sejarah pemilikan.
Namun bagi ?iriac, Ferrari F40 bukanlah satu-satunya permata dalam koleksinya. Garaj beliau turut menempatkan pelbagai model ikonik daripada jenama seperti Aston Martin, Bentley, Cadillac, dan Alfa Romeo, selain jentera perlumbaan termasuk kereta Formula 1. Dengan kepelbagaian dan jumlah sebegitu, tidak hairanlah satu unit supercar pun boleh “hilang dalam sistem”.






