Keputusan kerajaan Brazil untuk memecat ketua badan pemeriksaan buruh negara itu baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi besar, apatah lagi apabila ia berlaku hanya beberapa hari selepas pengeluar kenderaan elektrik dari China BYD dimasukkan ke dalam senarai majikan yang dikaitkan dengan amalan buruh tidak berperikemanusiaan di Brazil
Individu yang terlibat, Mr. Luiz Felipe Brandão de Mello yang sebelum ini mengetuai Sekretariat Pemeriksaan Buruh sejak tahun 2023 mengetuai agensi bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang buruh termasuk membanteras amalan kerja paksa dan eksploitasi pekerja.
Namun pemecatan beliau secara rasmi melalui warta kerajaan menimbulkan persoalan besar tentang kemungkinan wujudnya campur tangan politik dalam proses penguatkuasaan tersebut. Kontroversi ini menjadi lebih panas apabila Persatuan Pemeriksa Buruh Brazil (Anafitra) tampil mengecam tindakan kerajaan.
Mereka mendakwa pemecatan tersebut bukan sekadar kebetulan, sebaliknya berkait rapat dengan keputusan untuk menyenaraikan BYD dalam apa yang dikenali sebagai “dirty list”. Senarai ini mengandungi syarikat yang dikaitkan dengan keadaan kerja yang menyerupai perhambaan moden. Bagi mereka, tindakan memecat pegawai utama dalam agensi penguatkuasaan adalah satu bentuk tekanan politik yang boleh melemahkan kebebasan institusi tersebut.
Pada tahun 2024, pihak berkuasa Brazil menjalankan siasatan di sebuah tapak pembinaan kilang milik syarikat itu di Bahia. Hasil siasatan mendapati ratusan pekerja yang kebanyakannya warga China didapati bekerja dalam keadaan yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Antara dakwaan yang timbul termasuk waktu kerja yang terlalu panjang, keadaan tempat tinggal yang tidak selesa, serta kawalan ketat terhadap kebebasan pergerakan pekerja. Walaupun situasi tersebut melibatkan kontraktor yang dilantik untuk projek berkenaan, pihak berkuasa Brazil menegaskan bahawa tanggungjawab tetap terletak pada syarikat utama.
Ini kerana mana-mana syarikat yang mengendalikan projek berskala besar sepatutnya memastikan semua pihak yang terlibat mematuhi standard buruh yang ditetapkan. Kemasukan BYD ke dalam “dirty list” bukan sekadar isu reputasi semata-mata.
Di Brazil, senarai ini membawa implikasi yang cukup serius termasuklah kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan tertentu khususnya bank milik kerajaan. Namun begitu, dalam perkembangan terbaru, mahkamah Brazil telah mengeluarkan perintah sementara untuk menggugurkan nama BYD daripada senarai tersebut sementara siasatan lanjut dijalankan.
Apa yang menjadikan isu ini lebih besar adalah kesan jangka panjang terhadap sistem penguatkuasaan buruh di Brazil. Kesatuan pekerja melihat pemecatan ini sebagai satu isyarat yang membimbangkan, seolah-olah menunjukkan bahawa tindakan tegas terhadap syarikat besar boleh membawa risiko kepada pegawai penguat kuasa sendiri.
Jika persepsi ini berterusan, ia berpotensi melemahkan keberkesanan sistem perlindungan pekerja secara keseluruhan. Dalam konteks industri automotif global pula, kes ini turut memberi kesan kepada imej BYD yang sedang berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
Sebagai salah satu pemain utama dalam pasaran kenderaan elektrik dunia, sebarang kontroversi berkaitan isu buruh boleh memberi tekanan kepada reputasi jenama, terutama di pasaran luar China yang semakin menitikberatkan aspek etika, tenaga buruh dan kelestarian alam.






