TOKYO: Ramai golongan muda mengadu peraturan etika hadiah perkahwinan Jepun kini terlalu mahal, menerusi tinjauan dalam talian yang dilakukan baru-baru ini.
Jepun tidak mempunyai meja pendaftaran untuk hadiah perkahwinan kerana tetamu yang datang untuk meraikan pasangan baru berkahwin akan memberikannya dalam bentuk wang tunai.
Kebiasaannya, peraturan etika tentang jumlah yang perlu diberikan oleh setiap tetamu kepada pasangan pengantin berjumlah sekitar 30,000 yen (RM913).
Portal perancangan perkahwinan dalam talian Rexit yang menjalankan tinjauan internet, mengumpul maklum balas berhubung jumlah tersebut daripada 361 lelaki dan wanita dengan 38.7 peratus daripadanya berumur antara 20 dan 29 tahun.
Dalam tinjauan itu, 64.3 peratus responden mengakui jumlah itu terlalu mahal untuk diberikan sebagai hadiah perkahwinan.
Malah, 73 peratus responden berkata, jumlah tersebut bersamaan dengan nilai wang simpanan bulanan mereka.
Tekanan kewangan semakin sukar terutamanya bagi golongan muda Jepun jika mereka mempunyai ramai kenalan atau saudara-mara terutamanya yang memilih berkahwin pada waktu sama ketika musim luruh dan musim bunga.
Justeru, bakal pasangan Jepun selalunya lebih selektif dengan senarai tetamu perkahwinan mereka kerana menyedari jemputan itu disertakan dengan beban kewangan yang tinggi.-AGENSI