May 27, 2024

Isu MB Perlis beri keterangan SPRM: 'Saya tak terlibat dan saya tak tahu' – Azalina



am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan beliau tidak mencampuri urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu membabitkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, beliau langsung tidak tahu mengenai hal itu.

Sambil menafikan campur tangan kementeriannya, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau bukannya Ketua Pesuruhjaya SPRM ataupun Ketua Polis Negara yang memberikan ‘kuasa’ kepadanya untuk mengambil tindakan terhadap Mohd Shukri.

“Manalah saya tahu. Saya bukan KP (Ketua Pesuruhjaya) SPRM. Saya bukan Ketua Polis (Negara). Saya tak tahu.

“Saya tak boleh komen. Pada saya iyalah, kalau nak siasat itu hak agensi. Agensi (SPRM) adalah badan bebas. Saya tak terlibat dan saya tak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program santai mesra dengan jentera Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di sebuah restoran di Kuala Kubu Bharu, petang tadi.

Ditanya adakah isu membabitkan Menteri Besar Perlis daripada Pas itu akan dijadikan modal PH dan BN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu, Azalina berkata, lebih baik fokus lain lebih bermanfaat.

Beliau berkata antara perkara yang boleh diketengahkan sepanjang kempen kali ini adalah apa bentuk khidmat yang boleh ditawarkan kepada penduduk di Kuala Kubu Baharu.

“Tapi yang penting, saya bagitahu adalah kita fokus pada tawaran khidmat sepanjang kempen di Dun Kuala Kubu Baharu yang (mana penduduk) akan hidup dengan siapa (wakil rakyat) yang terpilih nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top