Jojo (kiri) berjaya mengharungi tiga pusingan pada pertarungan flyweight Muay Thai menentang Shimon Yoshinari sebelum kalah menerusi keputusan sebulat suara juri. Foto: ONE Championship
PROSPEK Jepun, Shimon Yoshinari mengakui kehebatan Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dengan menyifatkan bintang Muay Thai negara itu sebagai lawan yang sangat kuat selepas menewaskannya dalam aksi ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Tokyo hari ini.
“Jojo sangat kuat hari ini,” kata Yoshinari sejurus tamat pertarungan yang menyaksikannya menang menerusi keputusan sebulat suara.
Dalam pertarungan divisyen flyweight Muay Thai itu, Jojo, 19, yang membawa rekod 8-3 turun dengan keyakinan tinggi selepas dua kemenangan berturut-turut, namun Yoshinari (25-1) memanfaatkan kelebihan fizikal untuk mengawal rentak perlawanan.
Aksi berlangsung sengit apabila kedua-dua petarung saling bertukar serangan, dengan Jojo berjaya memberikan tentangan hebat termasuk menjatuhkan Yoshinari pada pusingan kedua.
Namun, Yoshinari bangkit dengan agresif untuk membalas, sebelum kembali menguasai pertarungan pada pusingan ketiga menerusi kawalan jarak dan sepakan kaki yang konsisten.
Kemenangan itu turut menyaksikan Yoshinari meraih bonus 4.5 juta yen (RM111,366) serta kontrak ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM395,000).
Kekalahan berkenaan menjadi yang keempat buat Jojo sejak menyertai ONE Championship pada 2023, namun persembahannya di Tokyo tetap mencuri perhatian dan mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek muda yang perlu diberi perhatian dalam divisyen tersebut.






