Zamakhshari berkata, Sukan tempur seperti silat, taekwondo dan Muay Thai kekal menjadi sandaran utama Kelantan pada Sukma 2026.
KELANTAN menyandarkan harapan pingat emas sukan tempur pada temasya Sukan Malaysia 2026 (Sukma 2026) meskipun edisi kali ini ditetapkan pelaksanaan dalam skala lebih kecil.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya juga bersedia berdepan perubahan sekiranya penganjuran skala kecil itu turut memberi kesan kepada bilangan acara dipertandingkan sekali gus mempengaruhi sasaran keseluruhan pingat.
“Sukan tempur seperti silat, taekwondo dan Muay Thai kekal menjadi sandaran utama Kelantan kerana berasaskan kekuatan tradisi negeri dalam disiplin itu.
“Tetapi pada masa sama, apabila penganjuran dibuat dalam skala lebih kecil, sudah tentu ada kemungkinan beberapa acara dikurangkan dan ini akan beri kesan kepada jumlah pingat keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Kelantan mengumumkan sasaran untuk meraih 16 emas, lapan perak dan 11 gangsa pada temasya yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada 15 hingga 24 Ogos ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, perincian lanjut mengenai pelaksanaan penganjuran skala kecil tersebut akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 pada Khamis.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan menjadi penentu kepada beberapa perkara penting termasuk senarai akhir acara yang dipertandingkan serta kaedah pelaksanaan temasya berkenaan.
“Esok baru kami akan dapat keputusan muktamad.
“Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi akan bincangkan secara terperinci sama ada acara dikekalkan atau dikurangkan dan bagaimana pelaksanaan skala kecil itu akan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, kontinjen Kelantan ketika ini kekal meneruskan persiapan seperti biasa walaupun masih menunggu pengesahan rasmi berhubung format akhir penganjuran.
“Buat masa ini kami teruskan latihan seperti biasa. Apa-apa juga keputusan esok, kita akan sesuaikan strategi berdasarkan senarai acara yang dimuktamadkan,” katanya.






