Kenali dan gali potensi anak sindrom down

Kenali dan gali potensi anak sindrom down


Kecewa dan sedih apabila bayi yang baru dilahirkan disahkan mengalami sindrom down? Ibu bapa mana yang tidak berperasaan begitu. Namun, usah biarkan emosi menguasai diri sehingga lupa anak itu berhak dilayan seperti kanak-kanak lain dan membesar dengan sempurna.

Ramai yang dilahirkan dengan sindrom down mampu meraih kejayaan tersendiri dan menjalani hidup berdikari sekiranya ibu bapa bijak memberikan pendidikan kepada anak istimewa mereka.

Sebagai contoh, aktor Sepanyol, Pablo Pineda yang tampil sebagai individu dengan sindrom down yang memenangi  Silver Shell Award pada 2009. Beliau juga berjaya meraih Ijazah Pendidikan Psikologi.

Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Buloh, Dr. Anayasmin Azmi berkata, terapi awal dan perkhidmatan sokongan boleh membantu meningkatkan kualiti hidup individu sindrom down.

“Meskipun tidak ada rawatan untuk sindrom down, mereka boleh menjalani hidup dengan baik melalui terapi awal. Ini termasuk terapi fizikal, terapi pertuturan dan program pendidikan khas,” katanya.

Dr. Anayasmin menambah, sokongan daripada keluarga, rakan sekerja dan organisasi sokongan boleh membantu mengurangkan tekanan dan memberikan sumber pengetahuan dan kemahiran untuk merawat anak dengan keperluan khas.

Menurutnya, kesabaran, kasih sayang ibu bapa dalam membesarkan anak dan pendekatan positif adalah kunci untuk membantu anak berkembang sebaik mungkin dan berdikari.

“Inklusif di sekolah dan dalam komuniti adalah penting untuk memastikan individu dengan sindrom down mendapat akses yang sama terhadap pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang sosial.

“Di sekolah, pendekatan inklusif membolehkan anak-anak dengan keperluan khas, termasuk anak sindrom down, belajar di dalam kelas yang sama dengan rakan sebaya mereka yang normal,” katanya.

Tambah Dr. Anayasmin, ini membantu kanak-kanak sindrom down memupuk persefahaman, mengurangkan stigma dan memberi peluang untuk pembelajaran sosial yang berharga.

PERHATIAN DAN BAKAT

Apabila anak-anak ini diberi perhatian dan digali potensinya, mereka sebenarnya mempunyai potensi unik dan berharga seterusnya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Individu dengan sindrom down sering menunjukkan bakat dalam pelbagai bidang seni, muzik dan persembahan. Mereka juga mempunyai kemahiran komunikasi sosial yang kuat dan sifat kepekaan yang luar biasa terhadap perasaan orang lain.

“Sekiranya bakat ini dipupuk sejak awal atau kecil dan anak diberikan galakan, ini mampu menjadikan mereka insan berharga dalam persekitaran sekolah dan komuniti,” katanya.

Menerusi sokongan yang tepat daripada ibu bapa dan keluarga, pendidik dan masyarakat, kanak-kanak dengan sindrom down boleh mencapai banyak pencapaian membanggakan.

“Kita perlu bersama-sama membina sebuah dunia yang lebih prihatin dan saling menghormati, di mana setiap individu, termasuk mereka yang mempunyai Sindrom Down, dapat hidup dengan selesa dan bermakna,” katanya.

MENGENALI SINDROM DOWN

Sindrom down adalah keadaan genetik yang menyebabkan perubahan dalam perkembangan fizikal dan kognitif bayi terbabit sejak mereka dalam kandungan.

“Kebiasaannya, seorang manusia mempunyai 23 pasang kromosom. Setiap pasang memiliki dua kromosom. Sebaliknya apa yang berlaku pada bayi sindrom down, mereka mempunyai lebih satu kromosom menjadikan keseluruhan 3 kromosom 21.

“Ini menjadikan ciri-ciri fizikal yang khas seperti kedudukan mata ‘slanting’ ke atas, lipatan epikantal yang melebar, leher pendek dan telinga yang kecil, lidah lebih besar daripada kebiasaan, satu garis pada tapak tangan, otot yang lembut, bahagian belakang kepala meleper dan beberapa ciri lagi,” katanya.

Kanak-kanak sindrom down biasanya boleh melakukan semua aktiviti yang dilakukan kanak-kanak biasa seperti berjalan, bercakap, memakai baju dan ke tandas. Namun kemahiran ini mungkin sedikit lewat berbanding kanak-kanak lain dan berbeza bagi setiap kanak-kanak sindrom down lain.

“Bayi dan kanak-kanak dengan sindrom down mungkin mengalami kelewatan perkembangan, masalah pembelajaran dan ketidakstabilan otot berbanding kanak-kanak biasa.

“Ini boleh menyebabkan cabaran dalam pembelajaran dan perkembangan kemahiran sosial mereka di masa hadapan yang memerlukan pendidikan khas atau terapi khas diberikan kepada mereka,” katanya.

PUNCA DAN KOMPLIKASI

Punca berlaku kelainan kromosom tidak diketahui oleh pakar tetapi mereka sependapat faktor usia ibu yang meningkat ketika hamil mempengaruhi keadaan bayi.
“Risiko melahirkan anak sindrom down meningkat apabila wanita atau ibu semakin berusia. Risiko ini menjadi lebih tinggi dalam kalangan wanita yang berusia iaitu lebih 35 tahun,” kata Dr. Anayasmin.

Ultrasound janin semasa mengandung juga boleh menunjukkan kemungkinan sindrom down. Namun ultrasound tidak 100 peratus tepat. Masalah berkaitan sindrom down juga mungkin tidak dapat dilihat dengan kaedah ini.

Selepas kelahiran, bayi anda mungkin didiagnosis dengan pemeriksaan fizikal. Pengambilan sampel darah dilakukan bagi mencari kromosom tambahan.

Beberapa komplikasi kesihatan yang mungkin timbul ke atas kanak-kanak sindrom down termasuk masalah jantung, pendengaran dan penglihatan.

Ciri-ciri Sindrom Down
Beberapa petanda atau ciri Sindrom Down:
 Ukuran kepala lebih kecil (mikrosefalus)
 Bagian kepala belakang datar
 Bentuk telinga kecil atau tidak normal
 Sudut mata luar naik ke atas
 Lidah pecah-pecah
 Mata sepet ke atas dan ke luar
 Telapak tangan hanya memiliki satu lipatan
 Tangan lebar dengan ukuran jari pendek
 Tulang hidung rata dan bahagian hidung kecil
 Mempunyai kepala yang kecil
 Bertubuh pendek
 Terdapat jarak yang luas antara jari kaki pertama dan kedua
 Lidah menonjol keluar

Terapi dan rawatan:
Fisoterapi:
Fisioterapi akan mengajar kanak-kanak untuk menguasai kemahiran yang diperlukan dalam aktiviti seharian seperti duduk, berdiri dan kemahiran bersukan seperti kemahiran bermain bola dan berbasikal.
Terapi pertuturan
Terapi pertuturan dan bahasa disarankan untuk membantu memudahkan keinginan kanak-kanak sindrom Down untuk berkomunikasi dan boleh menjadi bentuk terapi yang bermanfaat.
Terapi tingkah laku:
Meningkatkan kemahiran berkomunikasi, bersosial dan bergaul dengan rakan sebaya. Kanak-kanak Sindrom Down juga mungkin bermasalah ADHD, autisme atau masalah lain yang perlu ditangani.
Terapi cara kerja:
Kemahiran berdikari seperti makan dan memakai pakaian, kemahiran motor halus, prestasi pembelajaran di sekolah serta aktiviti sosial seperti bermain.- UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top