July 16, 2024

Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian Titah Adendum Najib – UMNO Kedah

Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian Titah Adendum Najib – UMNO Kedah


KUALA LUMPUR – UMNO Kedah kecewa dengan keputusan Mahkahah Tinggi yang menolak kebenaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Justeru itu, Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyeru agar kerajaan perpaduan menyatakan pendirian akan kewujudan surat titah tersebut.

“UMNO Kedah percaya, pendirian ini penting bagi memastikan hak Datuk Seri Najib sebagai warganegara untuk mendapat keadilan dan status tersebut dapat diberikan seadil-adilnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal hari ini, Najib gagal mendapat kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Mahkamah Tinggi melalui hakim bicara, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan Najib hanya sekadar ‘dengar cakap’ dan khabar angin sahaja.

Ia termasuk afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy menggesa agar pihak yang mempunyai bukti terhadap adendum tersebut tampil ke hadapan.

“UMNO Negeri Kedah menggesa dan merayu agar pihak-pihak yang mempunyai bukti dan pengetahuan tertentu akan kewujudan perintah tersebut untuk tampil dan pada masa yang sama merungkaikan persoalan dan dilema yang besar ini,” katanya.

Sebelum ini, Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.

Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top