Kontroversi VAR, Senegal dan Ivory Coast rasa teraniaya

Kontroversi VAR, Senegal dan Ivory Coast rasa teraniaya

Kontroversi VAR, Senegal dan Ivory Coast rasa teraniaya


PENGGUNAAN video bantuan pengadil (VAR) kembali menjadi perhatian apabila dua pasukan Afrika, Senegal dan Ivory Coast meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berbeza dalam situasi sepakan penalti ketika aksi pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026.

Isu ini tercetus apabila Senegal tewas 2-3 kepada Belgium dalam perlawanan penuh dramatik yang menyaksikan sepakan penalti minit ke-125 diberikan selepas semakan VAR sekali gus menjadi titik penentu perlawanan.

Insiden itu berlaku selepas pengadil Hector Sorto pada awalnya membiarkan permainan diteruskan dalam situasi membabitkan Lamine Camara dan Youri Tielemans di dalam kotak penalti.

Namun, selepas semakan di monitor tepi padang keputusan berubah apabila Belgium dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Tielemans.

Keputusan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati kem Senegal yang merasakan semakan VAR terlalu panjang dan mengubah momentum perlawanan pada saat paling kritikal.

Dalam tempoh 24 jam sebelum itu, Ivory Coast turut berdepan situasi kontroversi apabila permintaan penalti melibatkan Nicolas Pepe tidak dilayan ketika tewas 1-2 kepada Norway.

Insiden tersebut berlaku ketika Ivory Coast sedang cuba kembali dalam perlawanan, namun pengadil Jesus Valenzuela memilih untuk meneruskan permainan tanpa rujukan VAR meskipun terdapat insiden dalam kotak penalti.

Legenda Chelsea, Didier Drogba meluahkan kekecewaan terhadap keputusan itu dan mempertikaikan peranan VAR apabila mendakwa Ivory Coast sepatutnya diberikan sepakan penalti.

“Memalukan! Penalti ke atas Nicolas Pepe langsung tidak diberikan apa gunanya VAR,” katanya menerusi media sosial.

Bagaimanapun, bekas pengadil FIFA Keith Hackett mempertahankan keputusan tersebut dengan menyatakan sentuhan yang berlaku tidak cukup untuk layak diberikan penalti.

Dua insiden ini kini mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai konsistensi penggunaan VAR dalam situasi penting khususnya melibatkan pasukan dari Afrika yang merasakan keputusan tidak seimbang pada detik penentuan perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top