Kurang 1 Peratus Pengguna BUDI95 Guna Melebihi 200 Liter Sebulan

Kurang 1 Peratus Pengguna BUDI95 Guna Melebihi 200 Liter Sebulan


Kurang daripada satu peratus pengguna skim BUDI MADANI RON95 (BUDI95) merekodkan penggunaan petrol melebihi 200 liter sebulan sejak pelaksanaannya bermula Oktober 2025 hingga Mei lalu, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, dapatan itu diperoleh hasil pemantauan harian terhadap kira-kira tiga juta transaksi menggunakan MyKad dalam sistem BUDI95, sekali gus membolehkan kerajaan menilai corak penggunaan subsidi secara telus dan menyeluruh.

“Siapa mahu menggunakan BUDI95 dia kena letak kad pengenalan dalam sistem (BUDI95). Setiap hari ada tiga juta transaksi. Kita teliti dalam ‘database’ yang kita ada. Jadi kita boleh nampak, analisis dan boleh pastikan.

“Sejak (dilaksana bermula) Oktober 2025 sampai bulan lalu, kita sudah melihat (pelaksanaan) BUDI95 berjalan lancar dalam seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Amir Hamzah berkata, penetapan had kelayakan 200 liter sebulan dibuat berdasarkan data penggunaan sebenar rakyat.

Beliau berkata, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 80 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 140 liter.

Bagi mengambil kira keperluan pemilik kenderaan diesel seperti jip dan pikap yang digunakan untuk perniagaan kecil serta pengangkutan di kawasan pedalaman, katanya, kerajaan turut menyediakan tambahan kelayakan 100 liter di bawah BUDI MADANI Diesel yang boleh dipohon.

“Namun, mengambil kira majoriti kenderaan diesel rakyat ialah jenis Jip dan pikap, kerana menjadi pengangkutan utama barangan untuk peniaga kecil dan kenderaan penumpang di pedalaman, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan BUDI MADANI Diesel 100 liter yang boleh dipohon.

“Berdasarkan data DOSM, 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Dengan ini, kelayakan 300 liter sebulan mencukupi untuk rakyat terbanyak,” katanya.

Beliau turut menjelaskan penggunaan MyKad bagi penyaluran subsidi membantu menutup ruang ketirisan subsidi serta memastikan bekalan bahan api negara dapat diurus dengan lebih berkesan.

KREDIT GAMBAR UTAMA: BERNAMA






Source link

OR

Scroll to Top