am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Maklum balas yang segera daripada pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya, disifatkan Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai penjelasan wajar tatkala isu itu masih menjadi bualan hangat di media sosial.
Ketua Pemuda Umno berkata, tindakan juga memperlihatkan syarikat itu profesional sekali gus menunjukkan mereka memahami sensitiviti umat Islam.
“Terima kasih kerana memberi penjelasan yang cepat.
“Penjelasan mengenai logo itu diucapkan dengan terima kasih. Ia wajar dilakukan mereka bagi meredakan kemarahan orang ramai dengan memberikan penjelasan,” katanya kepada BH, hari ini.
Maklum balas itu diberikan selepas pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya.
Ia dilakukan berikutan logo mereka disalah tafsir dan menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.
Katanya, mereka tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
Katanya, logo itu 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi seperti tertera pada gambar yang dilampirkan.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo itu yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.
Sehubungan itu, syarikat terbabit mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd