Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menjalankan siasatan dalaman susulan kemalangan membabitkan kenderaan jabatan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang mengorbankan tiga sekeluarga awal pagi Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu bagi memastikan insiden berkenaan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.
“JIM juga akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan Jabatan bagi memastikan perkara ini diteliti secara menyeluruh.
“JIM memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman Jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Zakaria berkata, JIM menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menentukan punca serta keadaan sebenar yang membawa kepada tragedi berkenaan.
“JIM memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian.
“Jabatan menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Zakaria turut menyampaikan rasa dukacita JIM susulan kehilangan tiga nyawa dalam kejadian itu.
“Seluruh warga JIM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang serta mendoakan agar mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan,” katanya.
JIM dalam pada itu meminta masyarakat memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa dicemari spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
“Pihak Jabatan turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk membantu siasatan pihak berkuasa.
“Pada masa yang sama, orang ramai dimohon menghormati privasi dan sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu Black Maria milik JIM, Proton Saga dan Inokom Matrix serta empat pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail kira-kira jam 1 pagi Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, lori JIM tanpa muatan itu dipandu lelaki berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Siasatan awal polis mendapati lori terbabit dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan, sebelum bertembung dengan Proton Saga yang sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat di laluannya hijau.
Perlanggaran itu menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki daripada sebuah keluarga serta Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan berkenaan.
Tragedi itu meragut nyawa seorang lelaki berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun, manakala isterinya berusia 55 tahun mengalami kecederaan pada kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki.
Wanita berkenaan dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut, manakala ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Polis menahan pemandu lori JIM dan pemandu Proton Saga bagi membantu siasatan. Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
