Nekad tak kembali ke politik, Marina tolak tawaran 3 parti -“Banyak cara bantu masyarakat”

Nekad tak kembali ke politik, Marina tolak tawaran 3 parti -“Banyak cara bantu masyarakat”


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, menegaskan tidak akan kembali ke arena politik walaupun menerima tawaran daripada tiga parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Tak akan kembali ke dunia politik

Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan keputusannya untuk meninggalkan politik aktif kekal tidak berubah meskipun beberapa pihak berusaha memujuknya untuk kembali bertanding.

“Ada parti-parti lain yang mendekati saya, namun saya menolak tawaran itu dengan penuh hormat.
“Saya tidak akan kembali ke dunia politik. Saya percaya masih banyak cara untuk membantu masyarakat dan ia tidak semestinya melalui peranan sebagai ahli politik,” katanya.

Banyak tuduhan tak berasas

Marina yang mengumumkan pengundurannya daripada politik aktif pada 31 Mei lalu turut menepis dakwaan yang tular di media sosial bahawa beliau mengelak daripada mendekati kawasan majoriti Melayu atau tidak berani bertanding di kawasan sedemikian.

Beliau menjelaskan tuduhan itu tidak berasas memandangkan pembabitannya sebelum ini banyak tertumpu kepada kawasan yang majoriti penduduknya Melayu.

Ujarnya, pada 2021 beliau ditempatkan di Layang-Layang bagi menjalankan kerja akar umbi termasuk menubuhkan pusat komuniti dan membina sokongan masyarakat setempat dengan jangkaan bertanding di kawasan berkenaan.

“Ketika itu saya masih baharu dalam politik dan ditugaskan untuk membina sokongan di kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya Melayu.
“Saya juga dijangka berdepan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ketika itu memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Kena ludah ketika berkempen

Marina turut mengimbau pengalamannya sebagai pengurus kempen bagi seorang calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Mersing, sebuah kawasan yang mempunyai kira-kira 76 peratus pengundi Melayu.

Rekod itu jelas membuktikan beliau tidak pernah mengelak daripada berkhidmat atau berkempen di kawasan majoriti Melayu.

“Sebagai wanita Melayu yang pernah turun berkempen di kampung dan tanah rancangan FELDA, malah pernah diludah ketika berkempen, saya bukan individu yang takut memasuki kawasan Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, Marina menegaskan keputusannya untuk berundur daripada politik bukan disebabkan rasa kecewa, tidak puas hati atau keinginan mencari laluan yang lebih mudah.

Sebaliknya, katanya, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang mendalam serta mendapat sokongan daripada pasukan sukarelawan yang sentiasa bersamanya sepanjang perjalanan politik beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan sukarelawan berbilang kaum yang disifatkannya sebagai tulang belakang kepada segala usaha dan perjuangannya selama ini.

Marina mula mencipta nama apabila memenangi kerusi DUN Skudai pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022.

Bagaimanapun, beliau baru-baru ini mengumumkan pengunduran daripada politik aktif bagi memberi tumpuan kepada usaha khidmat masyarakat melalui saluran bukan politik.

DAP Johor menyifatkan pengunduran Marina sebagai satu kehilangan besar kepada parti itu.

Sumber: Berita Harian (Jassmine Shadiqe)





Source link

OR

Scroll to Top