Pearly tarik diri daripada kejohanan Piala Uber yang berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini di Horsens, Denmark. FOTO: Agensi
SKUAD badminton wanita negara berdepan cabaran getir menjelang saingan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini apabila tonggak beregu utama, Pearly Tan terpaksa menarik diri akibat kecederaan belakang berulang.
Pemain ranking nombor dua dunia itu menjelaskan kecederaan dialami sebelum ini kembali mengganggu, sekali gus menutup peluangnya untuk membantu pasukan dalam kejohanan berprestij berkenaan.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama pasukan. Kecederaan ini kembali semula dan keputusan untuk menarik diri amat sukar kerana saya mahu berjuang di gelanggang,” katanya.
Mengulas lanjut, Pearly mengakui situasi tersebut bukan perkara baharu, malah pernah hampir menjejaskan perjalanan kariernya beberapa tahun lalu, menyebabkan beliau lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.
Dalam masa sama, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pengunduran pemain itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap tahap kecergasannya.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata keputusan itu penting bagi memastikan skuad turun dengan barisan paling bersedia.
“Pearly tidak berada pada tahap terbaik untuk bersaing. Kami perlu memastikan pemain yang diturunkan benar-benar cergas bagi menghadapi cabaran,” katanya.
Ketiadaan Pearly memberi implikasi besar kepada kekuatan beregu wanita negara selain memaksa barisan kejurulatihan menilai semula percaturan menjelang kempen di Denmark.
Situasi itu turut menjelaskan persoalan mengenai ketidakhadirannya ketika skuad berlepas ke kem latihan pusat di Herning sebelum ini yang pada awalnya mencetuskan spekulasi.
Kini, fokus pemain berusia 25 tahun itu terarah kepada proses pemulihan bagi memastikan beliau dapat kembali ke tahap terbaik secepat mungkin.
Dengan perubahan saat akhir ini, Malaysia perlu menyesuaikan pendekatan bagi memastikan cabaran dalam kejohanan berpasukan itu kekal kompetitif.
Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.
Pencapaian terbaik negara di Piala Uber adalah melangkah ke suku akhir pada edisi 2010 di Kuala Lumpur sebelum tewas 0-3 kepada Indonesia.





