July 27, 2024

Penyertaan PSB ke PDP lembaran baharu politik Sarawak – King Sing

Penyertaan PSB ke PDP lembaran baharu politik Sarawak – King Sing


KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menyertai Parti Demokratik Progressif (PDP) Sarawak membuka satu lagi lebaran baharu bagi mengukuhkan kestabilan serta lagi kedudukan parti pada masa depan.

Menurut Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, penggabungan kedua-dua parti dilihat mampu mengukuhkan lagi kekuatan parti selain mewujudkan kerjasama erat antara kedua-dua belah pihak ke arah kekuatan dalaman parti dan politik Sarawak secara keseluruhannya. 

Katanya, keputusan ini juga perlu diterima dengan positif oleh semua ahli bagi memastikan kedudukan parti itu lebih terjamin pada masa depan.

“Saya menyeru kepada semua ahli parti supaya menerima dengan hati terbuka akan PSB menyertai barisan kita di PDP kerana ia sudah lama ditunggu-tunggu oleh parti berkenaan demi kebaikan dan kepentingan bersama,” katanya dalam laman sosial Facebook rasmi beliau.

King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) berharap semua ahli parti daripada kedua-dua belah parti memulakan satu bentuk jalinan kerjasama yang erat dan kukuh ke arah memperkasakan parti.

Jelas Ahli Parlimen Bintulu itu yang menjadi fokus adalah semua ahli saling bekerjasama bagi mengukuhkan kedudukan PDP mulai sekarang dan pada masa akan datang.

“Semua pihak harus memandang ke hadapan dan meneruskan agenda pembangunan di bawah Gabungan Parti Sarawak yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Politik cara lama harus diubah yang mana corak politik yang matang dan menyeluruh harus dipraktikkan bagi manfaat semua serta kesinambungan perjuangan PDP. Saya amat bersyukur kerana penyertaan PSB dalam PDP akan merealisasikan impian semua ke arah kestabilan parti dan politik Sarawak secara keseluruhan.

“Sebagaimana yang selalu saya tekankan, kita semua harus bekerjasama ke arah mewujudkan corak politik yang harmoni di negeri ini tanpa mengira bangsa dan latar belakang yang mana kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan perjuangan dalam PDP,” ujarnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top